KUALA LUMPUR – Pimpinan Umno Sabah memuji iltizam politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha memerangi rasuah, politik perkauman dan manipulasi agama.
Adun Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, falsafah politik yang diamalkan Anwar jelas berbeza berbanding pemimpin-pemimpin sebelum ini.
Menurut bekas Ketua Menteri Sabah itu, Anwar mampu mengenal pasti dengan tepat sekali masalah utama negara kita pada masa ini iaitu rasuah, politik perkauman dan manipulasi agama.
“Semasa Himpunan Rakyat anjuran PKR di Kota Kinabalu, Perdana Menteri telah memberi satu mesej politik yang amat jelas bahawa beliau tidak akan tolak ansur dalam usaha untuk membenteras rasuah dan salah guna kuasa.
“Beliau amat tegas dengan pegangan bahawa khazanah negara adalah milik rakyat. Ini berita baik bukan hanya untuk rakyat Sabah tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Selain daripada memerangi rasuah beliau jugak telah mengambil pendekatan politik tepat bahawa rakyat dan pemimpin harus tolak permainan politik yang sempit iaitu memperalatkan agama dan perkauman untuk meraih keuntungan politik,” kata Salleh Said dalam kenyataan di Facebooknya, kelmarin.
Kata beliau, manipulasi dan permainan politik sempit saperti ini amat merugikan rakyat dan negara.
“Kita seharusnya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi peruntukan bajet yang agak besar kepada Sabah. Usaha sebagini mempamerkan kejujuran dan keikhasan Perdana Menteri.
“Saya yakin falsafah politik yang diamalkan oleh Dato Seri Anwar berbeza dari pemimpin sebelum ini. Beliau mampu mengenal pasti dengan tepat sekali masalah utama negara kita pada masa ini iaitu rasuah, politik perkauman dan manipulasi agama,” ujarnya.