Dari pentas ABPBH 33 ke studio rakaman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Saling mengagumi kemantapan vokal, Ernie Zakri tidak menyangka berpeluang bekerjasama dengan idolanya, Hafiz Suip melalui single Berakhirlah Pencarianku selepas lebih sedekad mencipta nama.

Biarpun memulakan langkah dalam dunia muzik pada tahun sama, namun, rezeki Ernie yang muncul juara Bintang RTM 2009 lambat ‘panas’, berbanding Hafiz yang ketika itu menjuarai musim ketujuh program realiti, Akademi Fantasia (AF).

Justeru, tatkala dilamar Nova Music dan Rocketfuel untuk berganding dengan Hafiz merakamkan lagu ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Salleh itu, Ernie Zakri cukup berbesar hati.

“Walaupun kami sama-sama terjun dalam dunia seni pada 2009, namun, perjalanan karier tidak begitu menyebelahi saya.

“Dalam keadaan itu, Hafiz adalah antara penyanyi yang menjadi idola. Saya cukup kagum dengan vokalnya dan sangat menantikan kemunculannya mendendangkan lagu Awan Nano pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-26.

“Dalam hati saya terdetik, sesungguhnya wujud manusia berbakat sepertinya. Bukan saya sahaja, mama dan papa meminati Hafiz.

“Apabila kami berpeluang berduet pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33, tahun lalu, dalam segmen penghormatan kepada penyanyi, Francissca Peter, sekali lagi saya hanyut dengan kelunakan suaranya.

 

Hafiz dan Ernie sama bertapak dalam dunia seni pada 2009 apabila masing-masing menyertai program pencarian bakat. Foto Ihsan Rocketfuel
Hafiz dan Ernie sama bertapak dalam dunia seni pada 2009 apabila masing-masing menyertai program pencarian bakat. Foto Ihsan Rocketfuel

 

“Alhamdulillah, tidak sangka, rezeki memihak kepada saya apabila kami sekali lagi berpeluang untuk bekerjasama dalam sebuah lagu,” katanya pada sidang media secara maya, baru-baru ini.

Tatkala menerima tawaran Rocketfuel, perasaan Ernie berbelah bahagi kerana dia dan suami, Syamel baru melancarkan lagu duet, Goodbye Hello, April lalu.

Bagaimanapun, atas nasihat suami, Ernie atau nama sebenar, Nur Ernie Shahirah Zakri, akhirnya bersetuju menerima pelawaan itu.

“Saya ambil masa berfikir kerana saya dan Syamel baru melancarkan lagu duet. Namun, Syamel nasihatkan saya dan jelaskan ini peluang terbaik demi kemajuan karier.

“Kebetulan, melihat jadual dan perancangan diatur, saya fikir waktunya sesuai. Saya akhirnya bersetuju, sayang pula jika menolak rezeki,” katanya.

Ernie berkata, dia juga melihat kekuatan lagu Berakhirlah Pencarianku, bukan atas faktor Hafiz semata-mata kerana dia tidak kisah bekerjasama dengan mana-mana vokalis.

Mengambil masa kira-kira empat jam untuk dirakam, Ernie berkata, dia dan Hafiz perlu memastikan vokal masing-masing seimbang dan membuat banyak perubahan kepada lagu berkenaan.

Sementara itu, Hafiz berkata, dalam mengatur karier seni, dia tidak pernah meletakkan syarat hanya mahu bekerjasama dengan penyanyi hebat kepada syarikat rakaman.

Diimbas kembali, penyanyi berusia 31 tahun berasal dari Kuching, Sarawak ini pernah merakamkan lagu duet bersama penyanyi nama besar di Malaysia dan Indonesia.

Antara mereka adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Rossa, Misha Omar, Adira Suhaimi dan Faizal Tahir.

Hafiz berkata, dia tidak pernah menganggap dirinya penyanyi hebat dan menganggap apa yang dikecapi selama ini adalah rezeki.

“Saya tidak pernah memilih dengan siapa saya hendak bekerja. Apa yang saya kecapi adalah rezeki.

“Kuasa itu terletak di tangan syarikat rakaman. Mereka yang berbincang artis yang akan menjalinkan projek kolaborasi dengan saya. Saya tidak terbabit langsung dalam pemilihan rakan duet.

“Walaupun saya pernah menang anugerah, saya tidak pernah meletakkan syarat siapa yang layak atau tidak untuk menyanyi dengan saya.

“Saya tidak ada masalah untuk menyanyi dengan sesiapa sahaja… Siapalah saya untuk meletakkan syarat begitu,” katanya.

Hafiz berkata, ketika ditawarkan merakamkan lagu dengan Ernie, ia dilihat sebagai peluang besar yang tidak mungkin ditolak.

“Saya kena rebut peluang itu kerana dapat berkongsi studio dengan penyanyi hebat seperti Ernie. Lagipun dia baru memenangi Vokal Terbaik pada AJL 35. Saya memang mengagumi kehebatan vokalnya,” katanya.

Hafiz meminta peminat tidak membandingkan vokalnya dengan Syamel kerana setiap vokalis ada teknik nyanyian tersendiri.

“Saya harap vokal kami tidak dibandingkan. Sebagai penyanyi, kami cuba lakukan sebaik mungkin demi peminat. Takkanlah kami hendak merosakkan lagu sendiri.

“Namun, saya tidak melayan komen negatif kerana kita tidak hidup untuk melayan kritikan orang.

“Lagipun, jika melayan perkara negatif, ia hanya akan membuatkan saya tertekan. Saya hanya ambil yang positif dan menolak unsur negatif,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat