Cyberjaya, 7 Jun 2024 – Penyanyi berbakat besar, Vanessa Reynauld, hari ini melancarkan single terbaharunya yang bertajuk ‘Erti Rindu’. Vanessa, yang semakin dikenali dalam industri muzik tempatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kembali menyajikan kepada peminat dengan sebuah karya yang menyentuh hati.
Dikenali ramai kerana mempunyai vokal menakjubkan bertenaga, Vanessa tidak asing lagi dengan anugerah dan pengiktirafan, termasuk telah memenangi anugerah Artis Baharu Terbaik di Anugerah Industri Muzik pada tahun 2022. Kini, Vanessa kembali untuk mengukuhkan lagi kedudukannya dalam industri dengan balada terbarunya, ‘Erti Rindu’, yang dijangka mampu mencuri perhatian pendengar.
Lagu ini dicipta dan diterbitkan sepenuhnya oleh komposer terkenal, Affan Mazlan. Dalam sebuah wawancara, Vanessa menerangkan bahawa ‘Erti Rindu’ menggambarkan perasaan rindu yang mendalam, sama ada kepada seseorang yang jauh dari sisi kita atau kepada seseorang yang telah tiada. “Lagu ini mengenai perasaan rindu, dan setiap pendengar boleh menginterpretasikan lagu ini mengikut pengalaman dan perasaan mereka sendiri,” kata Vanessa.
Menurut Vanessa, proses rakaman lagu ini mencabar kerana dia perlu mengubah gaya penyampaiannya untuk memenuhi visi Affan Mazlan. “Affan mempunyai gambaran tersendiri tentang bagaimana lagu ini harus dipersembahkan. Oleh itu, saya perlu menyesuaikan gaya nyanyian saya dengan sebutan dan lontaran suara yang lebih penuh, seperti yang diminta olehnya,” jelas Vanessa.
Vanessa turut berkongsi bahawa proses rakaman mengambil masa sekitar empat jam. Walaupun ada beberapa perkara yang dia rasa boleh diperbaiki, Vanessa yakin dengan arahan dan visi Affan untuk lagu ini. “Saya berharap para pendengar akan menyukai lagu ini dan merasai maksud yang ingin saya sampaikan,” tambah Vanessa.
Single ‘Erti Rindu’ kini boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui pelbagai platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube, dan YouTube Music.
- Kredit:
Artis: Vanessa Reynauld
Komposer: Affan Mazlan
Penulis Lirik: Affan Mazlan
Produser: Affan Mazlan
Tarikh Pelancaran: 7 Jun 2024
Dengan pelancaran ini, Vanessa berharap lagu ‘Erti Rindu’ akan diterima dengan hati yang terbuka dan menjadi lagu kegemaran ramai.