PAS Kecam Politikus India Hina Nabi Muhammad

KUALA LUMPUR – PAS mengecam keras tindakan dua ahli politik kanan parti pemerintah India Bharatiya Janata Party ( BJP ) iaitu Nupur Sharma dan Navin Kumar Jindal dalam satu rancangan televisyen yang disiarkan di India.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan, tindakan melampau menghina junjungan besar Rasulullah SAW adalah satu perbuatan yang biadab dan mampu mencetuskan perseteruan antara agama samada di India atau mana – mana tempat di seluruh dunia yang mampu mencetuskan pergelokan yang berpanjangan.

“Majoriti umat Islam di Timur Tengah mengecam keras tindakan ini malah Mufti Oman Sheikh Ahmad bin Hamad Al Khalili menggangap ia seumpama “ melancarkan perang ke atas seluruh umat Islam “ dan telah menggesa umat Islam agar memboikot barangan keluaran India.

“Sewajarnya perbuatan biadap ini perlu dicegah daripada dibiarkan memandangkan nasib umat Islam di India umpama “telur di hujung tanduk“ akibat kerap kali dizalimi secara berterusan di India akibat daripada polisi berat sebelah yang dikenakan terhadap mereka,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Khalil, Islam adalah agama kedamaian dan agama yang cintakan keamanan.

“Namun jangan hina pemimpin kami dan agama kami,” bidas beliau.

Media melaporkan, gelombang kemarahan semakin meluas di Asia Barat terhadap kenyataan menghina oleh pegawai parti pemerintah India mengenai Nabi Muhammad SAW.

Pelbagai negara mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan berkenaan dan memanggil perwakilan New Delhi, malah sebuah pasar raya di Kuwait memunggah keluar produk India dari rak jualannya.

Kenyataan Sharma yang ke udara melalui televisyen, minggu lalu, mencetuskan bantahan dan kemarahan umat Islam di India serta pelbagai negara Islam, malah ramai menuntut wanita itu ditahan.

BJP yang sering dituduh bertindak ke atas golongan minoriti Muslim di India, menggantung Sharma kerana ‘memberi pandangan bertentangan pendirian parti.’