Oleh Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff.
Sebelum anda membaca lanjut tulisan ini, sewajarnya saya nyatakan bahawa saya bukanlah seorang ahli politik mahupun penulis politik yang berpaksikan kepada mana-mana parti.
Saya terpanggil untuk menulis artikel ini kerana kenyataan Tan Sri Annuar Musa (mantan pemimpin UMNO yang kini ahli PAS) yang “menempelak” kenyataan Datuk Seri Wan Rosdy (Menteri Besar Pahang) adalah suatu perkara yang tidak adil dan tersimpang dari realiti politik semasa.
Seperti rakyat Malaysia yang lain, Annuar Musa berhak untuk mempertikaikan parti lawan beliau dalam usaha untuk menambahkan sokongan, kepada diri beliau dan juga parti PAS.
Namun begitu, adalah amat cetek dan dangkal untuk menyatakan bahawa UMNO Pahang menolak penyatuan parti Melayu dan memilih untuk mengangkat parti bukan Melayu seperti DAP, seolah-olah kita semua tidak melihat apa yang berlaku pasca PRU-15 yang lepas.
Ceritanya bermula begini, Penasihat DAP, Lim Guan Eng telah mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO dan Barisan Nasional adalah rakan yang tidak boleh dipercayai rententan daripada beberapa isu yang berbangkit mutakhir ini.
Datuk Seri Wan Rosdy sebagai pemimpin UMNO dan Barisan Nasional telah mengkritik kenyataan Lim Guan Eng tersebut dengan menasihatkan pemimpin veteran DAP tersebut untuk tidak menjadi “batu api”.
Isunya mudah Lim Guan Eng seorang pemimpin DAP membuat kenyataan yang menggugat Kerajaan Perpaduan, Wan Rosdy seorang pemimpin UMNO pula menegur, itu sahaja.
Mungkin kerana angin PRU sedang sepoi-sepoi bahasa menyapa landskap politik tanah air, alih-alih datang Annuar Musa menyampuk dan menyerang Wan Rosdy dengan mengaitkan bahawa UMNO Pahang di bawah pimpinan Wan Rosdy telah menolak penyatupaduan parti politik dan kepimpinan Melayu untuk bersama DAP.
Bidalan Melayu “menangguk di air yang keruh” amat sesuai untuk mengambarkan apa yang sedang dibuat oleh Annuar Musa pada ketika ini.
Secara tuntasnya kita boleh melihat, kenyataan ini amatlah tidak benar dan dilihat hanya bertujuan untuk mengelirukan rakyat. Menurut sifir yang digunakan oleh Annuar Musa ini, jika kita lihat dari sudut sejarah, boleh dikatakan PAS, parti yang sedang dianggotai Annuar Musa ini lebih bersifat “menolak” perpaduan Melayu / Islam berbanding UMNO.
Pada tahun 1951 PAS tertubuh sebagai alternatif kepada UMNO dengan membawa iltizam perjuangan Islam dalam pentadbiran negara. Tahun 1969 pula PAS bergabung dengan Barisan Nasional yang mana penyatuan ini berakhir pada tahun 1978. Pada tahun 2019 pula, terdapat bait-bait pengukuhan ukhwah semula apabila Muafakat Nasional ditubuhkan, tetapi gagal apabila kedua-dua parti UMNO dan PAS tidak dapat mencapai kata sepakat dan akhirnya PAS bergabung dengan PPBM untuk menubuhkan Perikatan Nasional.
Jika kita mengikut logika Annuar Musa dalam kritikan beliau terhadap Wan Rosdy dan UMNO Pahang, apakah PAS juga menolak penyatuan Melayu dengan berkali-kali enggan bekerjsama dengan UMNO dalam perjuangan politik di Malaysia.
Apakah Annuar Musa lupa bahawa wujudnya Pakatan Rakyat pada tahun 2008 hanya dapat berlaku dengan gabungan PAS, DAP & PKR? Apakah pada ketika itu PAS boleh dikira sebagai menolak penyatuan Melayu kerana tidak lagi bersama UMNO dalam Barisan Nasional?
Jangan kita lupakan pada tahun 2008 disebabkan kerjasama PAS dan DAP atas dasar Tahaluf Siyasi telah menggugat parti Melayu (UMNO) sehingga tumbangnya Kerajaan Barisan Nasional Selangor. Apakah ini juga dilihat sebagai penolakan PAS terhadap penyatuan Melayu?
Sudah tentu tidak! PAS dan UMNO adalah dua parti ulung yang bertarung untuk merebut jiwa orang Melayu / Islam di Malaysia. Kedua-dua parti ini mempunyai tugas masing-masing sama ada ketika bergabung atau berseteru, ianya berteraskan ideologi yang berlainan tetapi bergerak pada paksi yang sama.
Di sini dapat kita lihat falasi dalam “tempelak” Annuar Musa terhadap Wan Rosdy dan UMNO Pahang.
Jika ingin diukur kerjasama dengan DAP sebagai satu pengkhianatan terhadap perjuangan politik Melayu, PPBM yang kini bersama PAS dalam Perikatan Nasional juga pernah bersama DAP sehingga jatuhnya Kerajaan Barisan Nasional pada tahun 2018.
Annuar Musa sebagai ahli politik veteran perlu sedar, politik itu bersifat dinamik. Ia bukan seperti ajaran agama yang bersifat kekal. Apa yang terpaksa dilakukan oleh UMNO Pahang untuk bekerjasama dengan DAP pada ketika ini sememangnya bukanlah dilaksanakan atas dasar suka-suka, tetapi atas dasar keperluan.
PAS, UMNO, Amanah dan PPBM secara asasnya mensasarkan sektor pengundi yang sama. Jika benar Annuar Musa mahukan penyatuan ulung bangsa Melayu, sewajarnya Annuar Musa mencadangkan agar parti PAS, PPBM, Pejuang dan lain-lain dibubarkan dan kesemuanya kembali kepada UMNO, kerana asalnya kesemua ini adalah parti serpihan UMNO.
Jika benar Annuar Musa mahu melihat penyatuan Melayu, apa kata beliau menerima cadangan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang telah secara terbuka mengajak sesiapa sahaja untuk menyertai Rumah Bangsa.
Namun begitu apabila diusulkan cadangan Rumah Bangsa tersebut, Annuar Musa telah menolaknya dengan angkuh dan menyatakan “Rumah Bangsa itu jenama baharu, tapi isinya sama”, jadi siapa yang menolak perpaduan kepimpinan Melayu pada ketika ini?
Sekiranya Annuar Musa benar-benar jujur mahu memupuk perpaduan Melayu, maka sertailah Rumah Bangsa yang diusulkan. Tunjukkan bahawa diri beliau berjiwa besar dan sanggup melupakan sengketa dalaman yang menyebabkan beliau sendiri keluar daripada UMNO, sehingga menyertai sebuah parti yang beliau sendiri tentang sejak dari 1980an.



