KUALA LUMPUR, – Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) menghargai komitmen Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan kerajaan dalam memastikan peminat bola sepak tempatan tidak terlepas menyaksikan aksi Piala Dunia 2026.
Presiden SAM, Norismadi Abd Manap berkata, pengumuman Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV sebagai penyiar rasmi kejohanan itu memberi kelegaan kepada peminat bola sepak negara.
Menurutnya, perkembangan tersebut menamatkan kegusaran peminat yang sebelum ini bimbang tidak dapat mengikuti aksi kejohanan berprestij itu yang berlangsung pada Jun dan Julai tahun depan.
“Perkembangan ini bukan sahaja memberi kelegaan kepada peminat, malah membuktikan kerajaan peka terhadap kegusaran yang disuarakan sebelum ini.
“Saya merakamkan penghargaan atas usaha Kementerian Komunikasi yang sangat bermakna ini kerana ia jelas memahami denyut nadi rakyat, khususnya peminat bola sepak, untuk bersama-sama merasai keterujaan kejohanan tersebut,” katanya ketika dihubungi RTM.
Bagi memastikan akses menyeluruh kepada orang ramai, perlawanan Piala Dunia 2026 bakal ditawarkan menerusi pelbagai platform termasuk siaran percuma melalui RTM, MyTV dan aplikasi RTM Klik.
Sementara itu, Unifi TV akan menyiarkan kesemua 104 perlawanan secara langsung bagi peminat yang mahukan liputan lebih komprehensif.
RTM pula akan membawakan sebahagian besar perlawanan sama ada secara siaran langsung atau tertunda.
Piala Dunia 2026 dijangka menjadi antara edisi paling dinantikan apabila buat pertama kali menampilkan 48 pasukan dengan 104 perlawanan sepanjang kejohanan.



