Sarimah pernah larang anak ceburi dunia seni

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Seniwati terkenal Datuk Sarimah Ahmad, 80, menjelaskan pernah melarang anak-anak mengikut langkahnya terbabit dalam seni.

Menurutnya, dia terasa sangat penat berlakon sehingga pernah berjanji pada diri sendiri untuk berhenti berlakon apabila anaknya sudah besar.

“Namun saya gagal kotakan janji kerana saya terus berlakon selepas itu. Dengan anak-anak pula saya pernah kata, kalau boleh tak payah ikut jejak langkah mak sebagai pelakon.

“Sebabnya ada fasa-fasa kesedihan yang saya lalui sepanjang terbabit dalam karier ini. Tapi saya tak boleh buat apa apabila M. Jamil pilih bidang ini.

“Sekarang anaknya pula, Sadiq M. Jamil ikut langkahnya dalam bidang seni. Dia memang semakin aktif berlakon,” katanya kepada Harian Metro.

Pelakon era Studio Jalan Ampas, Singapura ini berkata, dia perlu menerima hakikat darah seni yang ada padanya kini mengalir dalam tubuh mereka.

“Mula-mula Sadiq aktif berlakon teater. Sekarang barulah nampak dia cenderung berlakon drama. Saya sebenarnya tak ikut sangat perkembangannya.

“Sadiq pernah minta saya tengok lakonannya dan bagi komen tapi saya bukanlah tengok sangat. Saya tengok sekejap sangat sebab saya kena tidur awal untuk bangun solat tengah malam.

“Tapi saya puji juga lakonannya dan bagi nasihat jangan ingat berlakon ini senang. Kena kerja keras dan terpulang kepadanya untuk mencorakkan masa depan,” katanya.

Sarimah juga berkata, dia tidak suka Sadiq menggunakan namanya untuk mencari tempat dalam industri seni.

“Tak payahlah semua itu. Jadi diri sendiri dan jangan kaitkan dengan saya. Rezeki itu Allah dah peruntukkan buatnya.

“M. Jamil pula dah lama tak aktif akibat serangan strok. Dia banyak berhubung saya menerusi WhatsApp.

“Saya tak nafikan masih didatangi tawaran berlakon. Buat sementara waktu pintu hati saya dah tertutup. Tak tahu pula selepas ini kerana hati kita sentiasa berbolak-balik,” katanya yang mengakui masih berhubung rapat dengan pelakon dan penerbit Datuk Rosyam Nor, Rashid Sibir dan ramai lagi.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,499FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat