Umno terlanjur anggap Pas lebih bahaya daripada DAP – Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang menyeru, wajar menyatukan kumpulan bangsa Melayu yang berpecah kerana perbezaan pendekatan politik bukannya perbezaan akidah dan ideologi, khususnya antara perlembagaan Pas dengan perlembagaan Umno.

Namun kata Hadi, malangnya perbezaan pendekatan dijadikan sebab untuk berpecah sehingga ada kalangan Umno yang terlanjur menganggap Pas lebih bahaya daripada DAP yang nyata ekstremnya, lalu mendakap DAP dan meninggalkan Pas kerana faktor sampingan dan jawatan.

Ujarnya beliau, inilah satu pendekatan yang salah dari segi agama kita.

“Maka, kita wajib membebaskan bangsa kita daripada kejahilan agama yang mewajibkan kita bersatu menjadi bangsa yang kuat. Inilah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW yang bertindak menyatukan kabilah Arab dan semua kumpulannya.

“Melayu Islam wajib dibebaskan daripada kejahilan agama dan disatu padukan bersama persaudaraan Islam setelah mereka dipecah belahkan oleh penjajah dengan sebab kejahilan agama sendiri, sehingga Melayu Islam berpecah belah dan berkelahi dalam perkara yang kecil akibat tidak menyedari kesempurnaan Islam,” katanya dalam catatan Minda Presiden Pas.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, bangsa Melayu Islam wajib diberikan hak untuk memimpin negara ini yang merupakan sebahagian daripada realiti politik, bukan sekadar modal politik sebagaimana hujah oleh mereka yang jahil politik dan kalangan yang menafikannya.

“Ilmu politik Islam secara khusus meletakkan peranan bangsa dalam politik mengikut syariat yang menepati fitrah manusia (sifat tabii).

“Ramai Melayu Islam jahil akan hukum Islam dalam aspek fiqh politik yang mewajibkan Melayu Islam memimpin, dengan berkuasa mentadbir dan memerintah tanah air mereka bersama Islam yang berdaulat serta berlaku adil kepada semua,” ujar beliau.

Menurut Hadi, benar kenyataan Allah apabila DAP dan kumpulan ekstremnya menjadikan penyertaan kalangan Umno untuk membina kedudukan yang lebih kuat bagi mengekalkan kuasa politik mereka dalam kabinet serta melakukan tindakan politik yang membahayakan kedudukan Melayu dan Islam.

“Kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem pula tidak perlu bimbang dan khuatir akan kedudukan mereka bersama Islam kerana panduan kitab suci al-Quran yang diimani lebih wajib ditunaikan daripada manifesto pilihan raya berdasarkan firman Allah SWT:

“Menafikan peranan bangsa dalam politik juga menunjukkan taraf ilmu politik yang lebih rendah daripada politik binatang yang bermasyarakat seperti semut dan lebah yang kecil serta lemah, termasuk kawanan kera yang liar dan singa yang ganas.

“Kalau Melayu dituduh bersifat perkauman, maka tuduhan itu menafikan kefahaman bahawa bangsa Melayu setelah menganut Islam, merekalah yang paling tidak fanatik perkauman, begitu juga kaum bumiputera yang tidak memeluk Islam. Hal ini merupakan kesan daripada ajaran Islam yang adil kepada semua kaum sejak zaman kerajaan Melayu Islam yang bersejarah serta masih tersemat dalam hati orang Melayu dan kaum bumiputera bukan Islam, sehingga mereka boleh menerima kaum lain yang dibawa masuk oleh penjajah selepas kerajaan Islam yang berdaulat dijatuhkan.

“Dapat disaksikan sehingga kini, keluarga kecil masyarakat bukan Islam boleh hidup aman di tengah-tengah masyarakat Melayu yang besar jumlahnya. Mereka dibenarkan untuk beramal dengan agama, mengadakan perayaan agama, dan membuka sekolah bahasa masing-masing, dalam keadaan syariat Islam berdaulat dan bahasa Melayu-Jawi menjadi bahasa rasmi,” tegas beliau.

Hadi membidas, tuduhan Melayu sebagai perkauman oleh pelbagai pihak hanyalah bertujuan menyebarkan naratif yang salah hasil warisan penjajah yang boleh merosakkan keadaan aman dan harmoni yang wujud sejak awal kaum Melayu beragama Islam. Fitnah yang gagal pada zaman penjajah itu, tiba-tiba dicetuskan kembali oleh kalangan yang tidak mengenang budi Melayu terhadap kaum mereka yang pernah diperhambakan dan dihina oleh penjajah sebelum diselamatkan oleh orang Melayu.

“Malangnya, ada pula dalam kalangan orang Melayu yang bebal akan agama dan sejarah bangsa mereka sendiri, di samping terikut-ikut dengan fahaman yang salah dan sesat itu.

“Malangnya juga ialah kelemahan orang Melayu yang terlanjur bertolak ansur kerana kejahilan mereka berkenaan kesempurnaan Islam, sehingga mereka leka akan kedudukan mereka yang terancam dari segi politik dan ekonomi.

“Keadaan tersebut menyebabkan orang Melayu boleh dicatur oleh penjajah yang sebelum ini gagal pada zaman penjajah berada di sini, namun selepas diberikan kemerdekaan mereka merancang pula bagi merampas peranan politik dan ekonomi orang Melayu di dalam tanah air sendiri melalui penyusunan masyarakat majmuk hasil rancangan penjajah, supaya dapat diadudombakan yang menjadi bom jangka yang merosakkan.

“Anehnya, ketika semua bangsa lain di dunia memperjuangkan hak politik mereka kecuali bangsa yang berada di luar tabii manusia dan terpengaruh dengan teori demokrasi liberal yang tiada sempadan fitrah dan agama tiba-tiba Melayu dilarang bercakap berkenaan kaumnya pula,” kata Hadi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat