Peletakan jawatan Muhyiddin belum sah, Majlis Tertinggi PN boleh tolak – Sanusi

KUALA LUMPUR – Peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) didakwa belum sah kerana Majlis Tertinggi PN yang dijangka bermesyuarat minggu ini belum membuat sebarang keputusan menerimanya.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Sanusi Md Nor menjelaskan, berdasarkan Perlembagaan PN sebarang keputusan peletakan jawatan pengerusi gabungan perlu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN.

Katanya, mesyuarat Majlis Tertinggi PN boleh membuat keputusan menolak peletakan jawatan Muhyiddin dan beliau masih boleh kekal memegang jawatan itu.

“Belum tentu (peletakan jawatan Muhyiddin) sebab peletakan jawatan Pengerusi PN walaupun dia umum dan tulis surat tapi peletakan jawatan secara Perlembagaan PN mesti dibuat dalam mesyuarat.

“Jadi secara rasmi peletakan itu belum sah. Jadi kita tak perlu kata orang itu nak jadi pengerusi, orang ini nak kerana dia letak belum sah lagi. (Muhyiddin) Kena letak dalam mesyuarat dan diterima dalam mesyuarat maka sah peletakan itu.

“Tiba-tiba mesyuarat buat keputusan sebaliknya, maka kekal (jawatan Pengerusi PN) walaupun dia umum satu dunia (letak jawatan),” lapor BH di Alor Setar pada Rabu.

Ditanya kemungkinan mesyuarat Majlis Tertinggi PN menolak peletakan jawatan Muhyiddin, Sanusi menjelaskan jika keadaan itu berlaku, ia akan menyebabkan bekas Perdana Menteri itu dilihat sebagai tidak tetap pendirian.

“Tapi kalau (Muhyiddin) kekal akan memberi kesan jadi ‘flip flop’ pula, dia sudah bertekad takkan dalam mesyuarat tak diterima pula. Mesyuarat PN akan diadakan dalam tempoh seminggu,” katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri mengumumkan meletak jawatan Pengerusi PN selepas lima tahun mengetuai gabungan itu, berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

Berikutan itu, timbul pelbagai spekulasi calon yang akan memimpin gabungan itu dengan antara nama disebut adalah Presiden Pass, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat