Peti suara makin pulih

- Advertisement -

NAMA penyanyi dan pelakon Nabila Razali, 29, memang menjadi perhatian ramai terutama dalam kalangan warga maya yang aktif di media sosial.

Sejak awal kemunculannya di pentas Akademi Fantasia 2013 (AF2013), Nabila sudah menjadi perhatian apabila sering dikritik dan dikecam dengan pelbagai kata-kata pedas yang menusuk hati.

Namun, penyanyi yang popular dengan lagu Cemburu, Peluang Kedua dan terbaharu, Putus ini boleh dilabel sebagai ‘berhati batu’ kerana tidak sedikitpun dia mudah melatah, sekali gus mahu mengundur diri dari kerjaya seni.

“Saya seorang yang positif. Walaupun ada rasa sedih juga dengan segelintir komen diterima itu, tapi saya cuba terima dan pastikan tidak cepat mengalah. Bagi saya, tidak semua komen ditulis netizen itu buruk.

“Ada juga banyak kata semangat dan teguran yang boleh saya ambil untuk memperbaiki apa yang kurang pada diri. Kadang-kadang kita tak sedar pun kelemahan yang perlu diperbaiki untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Nabila yang pernah juga berdepan masalah peti suara sakit sebelum ini berkata, dia sangat bersyukur kerana semakin sembuh selepas banyak mengikut apa yang dinasihatkan doktor.

“Alhamdulillah, keadaan peti suara saya sekarang semakin baik. Malah, saya juga masih melakukan langkah penjagaan untuk memastikan ia terus pulih.

“Penjagaan pemakanan diutamakan dengan mengingat setiap pesan doktor supaya tidak makan makanan yang pedas sangat, elak minum ais serta cuba kurangkan ambil makanan berminyak.

 

CEKAL hati, Nabila terima baik semua komen netizen kepadanya. FOTO Rohanis Shukri
CEKAL hati, Nabila terima baik semua komen netizen kepadanya. FOTO Rohanis Shukri

 

“Walaupun susah juga sebenarnya untuk saya mengikuti saranan doktor itu sebab benda asas yang memang selalu kita ambil dan dan jadi rutin, tapi diri sendiri dan mental kena kuat,” katanya.

Menurutnya, atas kesabaran dan sikap komited menjaga kesihatan akhirnya keadaan peti suaranya sudah kembali pulih.

“Setakat ini, saya selesa untuk menyanyi dan tak rasa sakit lagi. Apa pun, saya juga ucapkan terima kasih kepada semua peminat yang mendoakan dan terus menyokong saya selama ini.

“Saya gembira masih dapat aktif dalam kerjaya seni kerana sokongan peminat. Terus terang, saya hanya mampu berterima kasih dan selebihnya kebaikan itu Allah saja yang membalas,” katanya.

Bagaimanapun, baru-baru ini Nabila sekali lagi menjadi perhatian apabila dia jatuh ‘terjelepok’ di hadapan penonton ketika berjalan menuju pentas ketika menjayakan persembahan Ambang 2022 di Menara Kuala Lumpur.

Katanya, biarpun sangat malu dengan insiden spontan yang berlaku itu, namun dia tetap gembira dan bersyukur dapat menghiburkan semua penonton sehingga majlis selesai.

Mengakui ada beberapa pencapaian terbaiknya sepanjang tahun lalu, Nabila berkata, bagi tahun baharu ini pula dia hanya mengharapkan perkara yang baik-baik saja.

“Harapan saya bagi 2022 ini ialah semoga kita semua dikurniakan memori yang manis-manis saja serta perkara baik-baik. Pada masa sama, semoga virus Omicron Covid-19 ini terhapus dan kita dapat jalani hidup yang sihat,” katanya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat