50 Rakyat Malaysia Di Kazakhstan Selamat

- Advertisement -

KUANTAN – Seramai 50 rakyat Malaysia di Kazakhstan, yang bergolak ekoran tunjuk perasaan membantah kenaikan harga bahan api, dilaporkan selamat.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata Wisma Putra memantau perkembangan di negara itu dan rakyat Malaysia diminta berhubung dengan kedutaan untuk mendapatkan sebarang maklumat lanjut.

“Kenyataan rasmi yang lebih terperinci tentang Kazakhstan akan dikeluarkan esok,” katanya ketika ditanya mengenai status rakyat Malaysia di negara itu pada sidang media di hari ini.

Media melaporkan pergolakan berlaku di Kazakhstan selepas ribuan rakyat negara itu mengadakan tunjuk perasaan membantah kenaikan harga bahan api.

Menurut laporan, Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev mengisytiharkan darurat pada Rabu selepas tunjuk perasaan itu merebak ke seluruh negara.

Sementara itu, Saifuddin mengumumkan pelantikan ahli perniagaan Datuk Randy Yap Kim Heng sebagai Penasihat Khas beliau mengenai Asia Timur dan Pengurus Besar Yayasan FELDA, Datuk Mohd Banuri Aris sebagai Perunding Hal Ehwal Kebajikan Antarabangsa di Kementerian Luar.

Beliau berkata Kim Heng, yang juga Naib Presiden Parti Gerakan, dan Mohd Banuri memulakan tugas mereka sejak November lalu.

“Saya percaya untuk melaksanakan sesuatu yang baik, kita mesti ada kerjasama melibatkan kerajaan, swasta dan masyarakat sivil.

“Sebab itu saya lantik sebilangan individu bukan daripada sektor kerajaan sebagai penasihat kerana kita perlu input dari sektor lain.

“Mereka ini ada pengalaman dan kepakaran masing-masing di peringkat antarabangsa. Kedua-dua individu ini juga tidak mendapat sebarang gaji, elaun atau apa-apa imbuhan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, kira-kira 3,400 mangsa banjir di kawasan itu diberikan bantuan sewajarnya, termasuk makanan siap masak, makanan ringan dan barang elektrik, selain peruntukan membaiki kerosakan atap serta siling sekolah rosak akibat ribut. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat