BERSATU janji pulihkan negara, laksana Dasar Kemakmuran Bersama jika menang PRU 16 – Muhyiddin

SHAH ALAM — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan melaksanakan Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama sekiranya diberi mandat untuk memerintah semula Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Presiden parti, Tan Seri Datuk Muhyiddin Mohd Yassin berkata dasar ini adalah untuk memastikan kemakmuran negara dinikmati oleh semua rakyat berbilang kaum secara adil, serta mengekalkan keutamaan agenda Bumiputera.

Dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU ke-8 2025 malam ini, beliau menekankan bahawa kerajaan baharu tidak akan membiarkan undang-undang yang menguntungkan segelintir pihak terus berkuat kuasa.

Beliau turut menekankan pentingnya perlindungan hak rakyat untuk memiliki harta dan memastikan negara tidak dikuasai oleh kroni.

“Kemenangan BERSATU dan Perikatan Nasional dalam PRU-16 bukan sekadar membentuk kerajaan, tetapi tuntutan patriotik untuk memulihkan negara, merancakkan ekonomi, menangani kos sara hidup rakyat, merapatkan jurang sosial dan kaum, serta mengekalkan kestabilan politik dan perpaduan nasional.

“Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama ini akan memastikan setiap rakyat berpeluang untuk berkongsi kekayaan negara secara saksama, sambil tetap mengekalkan keutamaan bagi agenda Bumiputera yang telah menjadi tunjang pembangunan negara sejak merdeka.

“Kita akan merancakkan pertumbuhan ekonomi, menangani kos sara hidup rakyat, merapatkan jurang antara kaum dan kelas sosial,” katanya.

Tan Sri Muhyiddin turut mengumumkan penubuhan Majlis Perundingan Ekonomi Nasional bagi menstruktur semula ekonomi Malaysia.

Majlis ini jelasnya akan merancang langkah-langkah untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan asing terutama dalam bidang teknologi tinggi, mengurangkan beban hutang negara, dan meningkatkan pendapatan rakyat.

“Majlis ini akan merancang langkah-langkah untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negara dan menggalakkan pelaburan asing terutama dalam bidang teknologi tinggi.

“Kita mesti memastikan anak muda mempunyai prospek pekerjaan yang stabil dan berpotensi tinggi, supaya mereka tidak terpaksa mencari rezeki di luar negara,” katanya.

Beliau turut menekankan keperluan menyemak semula dasar percukaian dan subsidi agar lebih adil dan tidak membebankan rakyat.

Beliau menambah, untuk menangani isu kos sara hidup, Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL)akan dirombak sepenuhnya supaya berfungsi lebih berkesan dalam mengawal harga barang keperluan rakyat.

“Subsidi dan cukai harus dirancang dengan teliti agar rakyat tidak terus dibebani, manakala perniagaan dapat berkembang tanpa sekatan yang tidak munasabah.

“Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) akan dirombak sepenuhnya untuk memastikan harga barang keperluan rakyat terkawal dan cabaran kos hidup dapat ditangani dengan lebih berkesan,” katanya.

Dalam sektor pertanian pula, pihaknya akan melancarkan semula Dasar Agromakanan Negara dan Keterjaminan Makanan, termasuk penubuhan majlis khas bagi menyediakan pelan strategik meningkatkan hasil makanan negara.

Muhyiddin berkata, negara tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada import dan keselamatan makanan adalah perkara asas yang mesti diutamakan.

“Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada import; keselamatan makanan negara adalah perkara asas yang mesti kita utamakan,” tegas beliau.

“Sebuah majlis khas akan dibentuk bagi menyediakan pelan strategik untuk meningkatkan hasil makanan negara secara berkesan,” jelasnya.

Selain itu, dalam bidang pendidikan, beliau berkata pelan pembangunan baharu National Education Blueprint akan diperkenalkan untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

“Isu sahsiah murid dan budaya buli di sekolah serta institusi pendidikan lain juga akan diberi perhatian serius bagi membentuk generasi muda yang cemerlang akademik dan berbudi pekerti.

“Pendidikan adalah tunjang masa depan negara, dan kita akan mengambil kira perkembangan terkini dalam dunia pendidikan, termasuk teknologi terkini dalam pengajaran dan pembelajaran.

“Isu budaya buli di sekolah dan institusi pendidikan lain juga akan diberi perhatian serius agar generasi muda kita bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga berbudi pekerti mulia,” ujarnya.

Dalam hubungan antarabangsa pula beliau menjelaskan Malaysia akan mengekalkan pendirian berkecuali dan memastikan keselamatan serta kedaulatan wilayah negara terpelihara.

Beliau turut menegaskan sokongan berterusan BERSATU terhadap rakyat Palestin dan menuntut kuasa besar dunia bertanggungjawab menghentikan keganasan di Gaza.

“Kita akan mengekalkan hubungan baik dengan semua negara demi kepentingan Malaysia.

“Keselamatan dan kedaulatan wilayah negara tetap menjadi keutamaan, dan sebarang pertikaian akan diselesaikan mengikut lunas hukum antarabangsa,” katanya.

Tambahnya bagi isu reformasi institusi, beliau berkata institusi utama negara mesti bebas menjalankan fungsi masing-masing, dan integriti Jabatan Peguam Negara, SPRM dan PDRM mesti dipulihkan sepenuhnya.

Beliau berkata rasuah tidak akan ditoleransi dan pelantikan jawatan penting mesti berdasarkan integriti.

“Kita akan memastikan institusi utama negara bebas untuk menjalankan fungsi masing-masing di bawah Perlembagaan dan undang-undang negara.

“Integriti Jabatan Peguam Negara, SPRM dan PDRM mesti dipulihkan sepenuhnya, dan kita tidak akan berkompromi dengan rasuah,” ujarnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat