BIHAR, INDIA, – Segalanya kelihatan cerah apabila Speedy Tigers mendahului 3–1 sehingga permainan berbaki 17 minit dalam perlawanan penentuan pusingan Super 4 yang telah berlangsung di Bihar Sports University Hockey Stadium, Bihar, India sebentar tadi.
Namun, kelemahan taktikal dan pengurusan perlawanan menghukum kita menyebab Korea Selatan bangkit untuk menang 4-3 sekaligus menutup peluang pasukan negara mengulangi sejarah 2022 layak ke Akhir.
Malaysia sudah di hadapan 2–1 pada separuh masa pertama, dan menambah satu lagi gol untuk menjadikan kedudukan 3–1 pada suku ketiga. Ketika itu, yang tinggal hanyalah menutup ruang, mengawal tempo, dan mematikan semangat lawan.
Namun, pasukan negara terus memilih corak menyerang tanpa arah. Bukannya menurunkan intensiti, sebaliknya barisan tengah dan pertahanan dibiarkan longgar. Korea menggunakan ruang itu sebaik mungkin, membalas dengan dua gol pantas dalam baki 17 minit, menukar kegembiraan kepada kekecewaan.
Tambahan pula, kelemahan disiplin turut terserlah dengan kad hijau yang memberi ruang lebih luas untuk Korea mengatur serangan. Inilah bukti paling jelas bahawa Malaysia tidak mempunyai “game management” yang baik tidak tahu bagaimana mengurus perlawanan ketika sedang mendahului.
Lawan India: Runtuh dalam 7 Minit
Sebelum itu, Malaysia sudah pun mendedahkan kelemahan sama ketika menentang India. Mendahului 1–0, barisan negara rebah dalam tempoh hanya tujuh minit pada suku kedua bolos tiga gol padang berturut-turut.
India tidak menewaskan kita dengan pukulan sudut semata-mata, tetapi dengan gerakan padang hasil penguasaan tempo dan kawalan ruang.
Malaysia pula turun terlalu ke bawah tanpa pressing jelas, membiarkan India menguasai bola dan memecahkan benteng kita dengan mudah.
Masalah Strategi di Bawah Sarjit
Dua perlawanan ini menceritakan kisah sama: Malaysia tidak mampu mengawal perlawanan ketika mendahului, dan tidak mampu bertahan apabila diasak.
Sama ada runtuh dalam 7 minit menentang India, atau hilang kelebihan 3–1 menentang Korea, kelemahannya berpunca daripada strategi yang rapuh.
Selepas 16 bulan di bawah kendalian Sarjit Singh, tiada peningkatan taktikal yang jelas. Fokus kepada kecergasan semata-mata tidak memadai. Hoki moden menuntut disiplin, perancangan, dan kebijaksanaan membaca perlawanan. Semua itu gagal diterjemahkan oleh pasukan negara.
Masa Depan Speedy Tigers
Kegagalan mara ke final Piala Asia bukan sekadar malang. Ia bukti bahawa kepimpinan teknikal sedia ada tidak berkesan. Malaysia memiliki pemain berbakat dan semangat tinggi, tetapi tanpa strategi kukuh, ia hanya mengundang kekecewaan berulang.
Sarjit Singh wajar meletakkan jawatan. Pasukan kebangsaan perlukan jurulatih baharu yang mampu membawa falsafah moden, ketegasan taktikal, dan keberanian mengurus detik genting.
Selagi kelemahan ini tidak ditangani, Speedy Tigers akan terus menjadi pasukan pertengahan Asia, bukan kuasa besar yang kita impikan. – Suara.TV



