‘Misi besar’ ejen Ali

- Advertisement -

WALAUPUN bekerja dari rumah untuk satu projek kebangsaan, kejayaan tidak mustahil mampu dicapai menerusi usaha keras dan iltizam yang tinggi.

Justeru, WAU Animation dan Primeworks Studios (PWS) semestinya berbangga apabila filem pendek, Ejen Ali Misi: Juang memenangi kategori Program Televisyen (TV) Kanak-Kanak Animasi 3D Terbaik di Anugerah Kandungan Asia 2021 di Singapura pada 27 Ogos lalu.

Ketua Pegawai Operasi WAU Animation yang juga penerbit filem pendek ini, Faiz Hanafiah berkata, Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 (PKP) yang diperkenalkan kerajaan ketika itu membuatkan mereka panik buat seketika.

“Penghasilan projek ini memakan masa sekitar enam bulan dari bermulanya idea dan pembuatannya secara sedikit-sedikit.

“Namun bila tiba-tiba PKP, ada yang masih di kampung dan tiada komputer sekali gus ada yang tak boleh bekerja. Jadi perlahan-lahan kami perkemaskan cara bekerja dari rumah. Perkara ini buatkan ia ambil sikit masa. Dalam masa sama, ada juga pasukan yang buat kerja luar sebagai pendapatan untuk syarikat,” katanya.

 

FUAD Md Din
FUAD Md Din

 

Menurutnya, pasukan terbabit yang digelar WAUriors mempunyai semangat untuk membuat yang terbaik.

“Cabaran paling besar ialah rangkaian Internet sebab ada yang tinggal di kawasan yang Internet tak berapa okey. Ada yang guna Internet dari telefon bimbit. Ia sedikit sebanyak mengganggu antaranya untuk sertai mesyuarat secara dalam talian.

“Kalau di pejabat okey tapi di rumah jadi satu masalah. Nak ambil fail yang biasanya seminit saja pun makan masa satu jam,” katanya yang gembira misi mereka tetap berjaya disempurnakan.

Ketua Pegawai Penjenamaan WAU Animation dan pengarah seni filem Ejen Ali Misi: Juang, Fuad Md Din pula berkata, pihaknya mempunyai impian ke Hollywood selain memenangi Oscar sebaris dengan pemain industri seluruh dunia sekiranya berpeluang.

“Cuma buat masa sekarang kita belum jumpa lagi. Namun kami gembira produk kami berjaya menembusi pasaran China dan ditayangkan di platform Tencent Video, tahun lalu.

“Seterusnya, kami mahu Ejen Ali ke platfrom penstriman lain seperti Taiwan dan Russia. Sebelum kemenangan pada Anugerah Kandungan Asia 2021, minggu lalu, kami terpilih dalam tontonan awam di Festival Fantaspoa, Brazil pada April lalu,” katanya.

Menurutnya, Ejen Ali, Ejen Ali Misi: Juang, Ejen Ali The Movie dan Ejen Ali

Musim 1 dan 2 kini boleh ditonton menerusi Disney+ Hotstar Malaysia dan Indonesia sejak Jun lalu.

Diminta mengulas perkembangan filem animasi Ejen Ali yang bakal siap sepenuhnya, Faiz berkata, ia tidak mungkin ditayangkan dalam masa terdekat ekoran pandemik Covid-19.

 

 

 

 

“Kami dan Primeworks Studios (PWS) perlu mengkaji situasi pasca pandemik Covid-19 bagi memastikan pulangan filem kerjasama itu tidak mengecewakan.

“Mungkin ditayangkan tahun hadapan. Namun jika diikutkan, kami merancang mengeluarkannya hujung tahun ini atau tahun depan tapi ia memerlukan perancangan lebih teliti dari segi masa.

“Kami perlu melihat situasi semasa terlebih dahulu jika ditanya tarikh tepat untuk dikeluarkan. Lagipun, adakah pawagam sudah dibuka ketika itu?” katanya.

Filem animasi pendek Ejen Ali Misi: Juang dilancarkan secara rasmi menerusi saluran YouTube pada 25 Disember tahun lalu.

Filem berdurasi 3.22 minit itu berjaya meraih 17 juta tontonan menerusi saluran YouTube rasmi.

Filem yang disokong kempen perkhidmatan awam itu dihasilkan bagi memberi penghormatan kepada petugas barisan hadapan dalam memerangi pandemik Covid-19.

Filem Ejen Ali The Movie turut dinobatkan sebagai Filem MeleTOP pada Anugerah MeleTOP Era (AME) pada 2020.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat