“Ingat ini lagu terakhir”

- Advertisement -

SUDAH setahun lagu Mantan Yang Terluka ciptaan Ajai dan lirik Ahmad Fedtri Yahya dirakamkan Fazli Zainal.

Mengikut perancangan, single ini sepatutnya dilancarkan Julai lalu. Namun, ditakdirkan penyanyi yang popular menerusi lagu Harapan ini dijangkiti Covid-19 menyebabkan hasrat ini tertangguh seketika.

“Selama 29 hari saya terlantar dan sebaik dibenarkan keluar dari Hospital Ampang, saya keluarkan juga single ini kerana rasanya kerjaya seni saya tak patut berhenti.

“Ketika dalam hospital, saya fikir mungkin ini lagu terakhir saya nyanyikan kerana merasakan hayat saya tidak panjang. Namun, Allah masih berikan saya peluang dan ada baiknya saya ambil kesempatan atas insiden yang berlaku untuk melancarkan single ini,” katanya.

Menurutnya, kebetulan ketika dalam ambulans untuk dibawa ke hospital pada hujung Julai lalu, dia menerima muzik video lagu ini untuk diteliti sebelum ditayangkan.

“Tanpa dirancang, kakitangan syarikat rakaman Wake The Baby hantar muzik video untuk saya tengok bahagian mana yang okay atau tidak. Saya beritahu dia yang saya dalam ambulans dan dia terkejut. Dari situ timbul idea untuk melancarkan lagu ini.

“Ini waktu terbaik untuk keluarkannya. Alang-alang kisah saya masuk ICU (Unit Rawatan Rapi) menjadi tumpuan, tak salah rasanya saya guna peluang untuk melancarkan single ini,” katanya.

Lagu ini adalah satu projek di bawah ISK Muzik (Inisiatif Seni Kreatif) di mana Ajai memilih 30 artis untuk menghasilkan single.

Fazli yang pernah menyertai program realiti Malaysian Idol bersyukur menjadi pilihan komposer popular ini.

“Ini kali pertama saya dapat bekerjasama dengan Ajai dan saya amat teruja. Saya sebenarnya sudah lama mengimpikan bekerjasama dengan dia. Terima kasih kepada pihak Wake The Baby Records kerana menghubungi dan menawarkan saya untuk menyertai projek istimewa ini.

“Saya sendiri minta Fedtri buat lirik sebab sudah banyak kali bekerjasama dengannya dan tahu dia mampu hasilkan lirik yang berkualiti,” katanya yang menjadikan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan pasangan adik beradik Ziana Zain dan Anuar Zain sebagai idola.

Fazli berkata, dia mengharapkan sentuhan Ajai akan membawa dirinya kembali ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Setiap penyanyi pasti impikan untuk menjejakkan kaki ke pentas AJL. Lagu ini mempunyai potensi yang sangat besar. Saya pernah menjadi finalis AJL 22 pada 2008 menerusi lagu Harapan. Justeru saya harap dengan sentuhan Ajai mungkin akan bawa saya sekali lagi ke pentas berprestij itu,” katanya.

Lagu Mantan Yang Terluka diedarkan oleh Universal Music Malaysia dan boleh didapati di semua platform digital bermula 10 September ini.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat