CYBERJAYA – Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, sekali lagi mencetuskan kontroversi selepas mencadangkan agar beberapa pemimpin DAP yang mengkritiknya dalam isu pemasangan bendera terbalik diberikan kad orang kurang upaya (OKU).
“Tolong bagi mereka ni cermin dan kad OKU sekali. Malas nak taip panjang-panjang dah, sebab bebal sangat nak faham,” katanya dalam satu hantaran Facebook, merujuk kepada Penolong Setiausaha Pemuda DAP, Edmund Lim.
Lim sebelum ini menuduh Akmal bersikap tidak konsisten dan hipokrit dalam tindakannya mengkritik pihak sekolah susulan insiden bendera Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik di sebuah sekolah vernakular di Port Dickson.
Akmal sebelum ini mendesak siasatan tetap diteruskan walaupun difahamkan bahawa kesilapan itu berpunca daripada seorang pekerja berkeperluan khas. Beliau turut mempertikaikan keputusan pihak sekolah yang memberikan tanggungjawab menaikkan bendera kepada individu sedemikian.
“Kita tidak mahu alasan OKU atau orang kurang siuman menjadi alasan utama lagi jika perkara ini berulang kembali,” katanya, sambil mendesak Kementerian Pendidikan menyiasat latar belakang individu terbabit.
Reaksi Akmal itu menerima kecaman daripada beberapa pemimpin DAP. Edmund Lim menuduh beliau sengaja menghidupkan isu kecil demi mencetuskan kemarahan awam.
Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong pula menggesa agar isu ini tidak dipolitikkan kerana ia tidak membawa sebarang manfaat kepada negara, malah boleh memburukkan hubungan masyarakat.
Woo turut menempelak sikap “jaguh kampung” dalam kalangan ahli politik yang menurutnya bersikap selektif dalam menzahirkan kemarahan terhadap isu yang serupa sebelum ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke turut mengingatkan agar semua pihak tidak mempolitikkan insiden bendera terbalik itu. Bagaimanapun, Akmal membalas dengan menegaskan bahawa isu tersebut menyentuh soal patriotisme, bukan politik.
Ini bukan kali pertama Akmal terlibat dalam pertikaian bersama pemimpin DAP. Tahun lalu, beliau merujuk Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai “nyonya tua”, dan pada Januari lepas bertelagah dengan Menteri Nga Kor Ming susulan isu makanan tidak halal yang dibekalkan dalam program kerajaan.



