Oleh Zihan Zari
KAJANG – Program Hari Bertemu Pelanggan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) salah satu platform terbaik menyampaikan maklumat dan pendedahan kepada masyarakat mengenai peranan dan tanggungjawab APM dalam aspek kesiapsiagaan, bantuan kecemasan dan pengurusan bencana.
APM menerusi kenyataannya berkata program sehari ini telah dilaksanakan di Plaza Metro Kajang, dekat sini baru-baru ini.
“Hari Bertemu Pelanggan ini merupakan satu program kerjasama strategik antara APM dengan MKH Plaza Metro Kajang, yang julung kalinya diadakan di pusat beli-belah dan salah satu inisiatif mendekati masyarakat secara langsung.
“Objektif utamanya untuk memupuk kesedaran dan memangkin ilmu pertahanan awam dengan cara yang santai dan mesra komuniti, ”kata kenyataan itu.
Katanya, pelbagai aktiviti dijalankan seperti pertandingan mewarna, Meet and Greet bersama artis APM, CPR Dance dan cabutan bertuah serta demonstrasi abseling oleh Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) selain mempamerkan peralatan operasi APM.
“Turut diserikan, sesi pertukaran cenderamata kenangan antara APM dan MKH Plaza Metro Kajang, serta penyampaian sijil kepada wakil agensi dan urus setia yang terlibat, ”kata kenyataan itu lagi.
Majlis Perasmian Penutupan Hari Bertemu Pelanggan APM Tahun 2025 telah disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed.
Hadir sama, Jawatankuasa Hal Ehwal Industri, Kebajikan dan Data Industri, Penolong Pesuruhjaya Kehormat (PA) Dato’ Fyzal Fauzi; Pengurus MKH Plaza Metro Kajang, Stephen Heng; dan Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Kolonel Bersekutu (PA) Rozaidi Abdul Jamil (Zed Zaidi).-SUARA.TV



