31 MP UMNO kekal di ‘medan perang’ tunggu undi percaya September ini – Ismail Sabri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Seramai 31 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyatakan pendirian kekal bersama kerajaan dan tidak akan membiarkan Perikatan Nasional (PN) runtuh sebelum undi percaya di Parlimen dilakukan pada September ini.

Keyakinan itu dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Ismail Sabri beliau dan 30 lagi ahli Parlimen BN akur kepada titah Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan keabsahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat dan sehingga itu kerajaan PN akan terus berfungsi berkhidmat untuk rakyat.

“Kami 31 ahli Parlimen BN bersama menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk meneruskan pentadbiran kerajaan PN dan keabsahannya akan ditentukan di Dewan Rakyat menerusi undi percaya pada September.

“Agong mahu sidang Parlimen diadakan bagi menentukan keabsahan dan selama itu kerajaan ini akan terus berfungsi,” kata Ismail Sabri pada sidang medianya pada Jumaat.

Jelas beliau, Istana Negara tidak lagi berkenan menerima sebarang akuan bersumpah (SD) mahupun surat-surat sokongan daripada ahli-ahli Parlimen kerana ia akan ditentukan menerusi undi percaya di Dewan Rakyat.

“Istana tak lagi menerima SD atau akuan sumpah atau surat-surat sokongan, jadi jelas bahawa kenyataan Presiden UMNO bahawa beliau akan hantar nama… itu tak relevan lagi kerana bercanggah dengan perkenan dan keputusan Agong.

“Kami ahli Parlimen yang setia kepada Agong akur titah, bahawa ia perlu dilakukan di Parlimen.

“Oleh itu perkara lain di luar perkenan Agong seperti hantar SD dan juga surat sokongan sebelum Parlimen adalah tidak sah,” ujar Ahli Parlimen Bera itu lagi.

Tegas beliau, jika kerajaan PN diruntuhkan sebelum berlangsungnya sidang Parlimen ia bermakna tidak akur titah Yang di-Pertuan Agong.

“Tak timbul isu ahli Parlimen derhaka …yang derhaka langgar titah.

“Kita akan terus bantu kerajaan mendepani pandemik COVID-19 dan isu rakyat yang terkesan,” katanya.

Tegas Ismail Sabri, “jika kita pilih tinggalkan kerajaan dengan tergesa-gesa samalah juga seperti tinggalkan medan perang di saat sedang berperang, kita pilih untuk terus berkhidmat kepada rakyat”.

Sementara itu, beliau yang juga Naib Presiden UMNO meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi datang bertemu dengan mereka yang diminta memberikan kenyataan bertulis.

“Kami mahu Presiden datang jumpa kami dan jelaskan hasrat beliau. Tak boleh keluarkan arahan tanpa jumpa dan perjelaskan apa kehendak beliau.

“Kami adalah pemimpin yang setia kepada parti, jangan rugikan parti dan bebankan rakyat.

“Parti dah semakin keruh, saya tak nak (ulas) ia keruhkan lagi keadaan,” ujar Ismail Sabri.

 

Senarai 31 ahli Parlimen BN yang menyatakan sokongan kepada kerajaan PN iaitu

1. Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
2. Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa
3. Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein
4. Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz
5. Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim
6. Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Seri Zahidi Zainul Abidin
7. Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman
8. Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar
9. Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba
10. Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican
11. Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
12. Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong
13. Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan
14. Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar
15. Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Rahim
16. Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin
17. Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup
18. Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Yazid
19. Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Sadique
20. Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh
21. Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria
22. Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng
23. Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said
24. Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad
25. Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Mutalib
26. Ahli Parlimen Paya Besar, Shahar Abdullah
27. Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah
28. Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias
29. Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid
30. Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Sharif
31. Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hassan Ariffin

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat