Balqis Jaz hasilkan novel Lanchang, Melelehnya dendam dari pohon abad & Lanchang 2, jaguh dari Lubuk Sengarat

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Walaupun bekerja sebagai penjaga stor, Hasrulhisam Jamin bertekad terus rajin dan kekal berusaha menulis novel untuk memikat hati pembaca.

Dengan keazaman yang tinggi, kini namanya mula mendapat perhatian setelah berjaya menghasilkan dua buah novel , ‘Lanchang’ (Melelehnya dendam dari pohon abad) dan Lanchang 2 (Jaguh dari Lubuk Sengarat).

Membaca Lanchang boleh menitiskan air mata meskipun novel ini berada dalam genre seram dan mistik.

Lanchang 2 pula menonjolkan mitos dan dongeng rakyat negeri Pahang dan diselitkan juga unsur sejarah di sekitar kawasan Lanchang.

Hasrulhisam, anak kelahiran Kampung Bolok Hilir, Pahang ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Felda Bukit Damar dan Sekolah Menengah Datuk Bahaman.

Beliau kemudiannya ke Sekolah Menengah Vokasional Pertanian Chenor dan memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) namun tidak dapat melanjutkan pelajarannya ke peringkat universiti disebabkan dihimpit masalah kewangan.

Setelah itu, beliau membawa diri ke Kuala Lumpur untuk mencari peluang pekerjaan bagi membantu keluarganya di kampung.

Biarpun getir menghadapi cabaran kehidupan sedikit pun tidak melemahkan semangat terus menanam tekad dan cita-citanya untuk menjadi penulis yang berkaliber.

“Sebenarnya tidak ada yang mudah dalam hidup ini, saya terus mengorak langkah mengikuti bengkel penulisan kreatif bersama penulis novel tersohor Umi Nadzimah dan Ismi Fa Ismail,” katanya kepada SUARA.TV.

Namun akhirnya penulis muda ini yang sinonim dengan nama penanya Balqis Jaz akhirnya berhasil membukukan 10 buah antologi cerpen.

Antaranya, Sayang Si Jebat, Tih Senah, C. T. Cinta Kenangan Silam, Menanti Kekasih, Tangkal Tih Senah, Hantu Mati Anak, Patin Tempoyak Daun Cemumur, Sayang Jebat Si Durhaka, Rusa Hutan Pelintur dan Tarik Duit.

Bapa kepada lima orang cahaya mata ini berhasrat menjadi penulis skrip drama dan filem suatu hari kelak setelah menyertai bengkel penulisan skrip drama TV dari Tommy Loh dan Sharifah Bibi Farina Sidek (Rina Khan).

Mengulas lanjut mengenai sinopsis novel ini, Hasrulhisam berkata, Lanchang diadaptasi berdasarkan kisah sebenar, pernah berlaku pada 1948 mengenai Ana seorang wanita hamil bersama kekasihnya Leman ingin menggugurkan kandungannya dengan bidan bernama Embong Hitam yang tinggal di lereng Bukit Bota.

Kontraktor yang membina sekolah di situ mengalami pelbagai kejadian pelik dan aneh dan telah diganggu oleh pontianak.

Azrul, anak Pawang Mat berasal dari Lanchang belajar di sekolah seringkali dibuli oleh pelajar-pelajar senior lalu ke Bukit Bota untuk mencari ketenangan sambil menunggu buah durian yang gugur.

Suatu hari pontianak yang sekian lama terpasung di pohon durian akhirnya terlepas dan mula merasuk seorang pelajar bernama Suriana yang menyimpan perasaan cinta terhadap Azrul.

Hasrulhisam telah menyelitkan dialek dari Pekan Lanchang ke dalam novel ini dan beberapa petua perubatan tradisional turut dikongsikan mungkin berguna kepada pembaca.

Antara sinopsis novel Lanchang 2, mengisahkan, bedilan meriam kerajaan Siam menghujani Sri Pahang seekor naga dari Tasik Chini yang bersisik emas dalam misi menyelamatkan naga siam yang bernama Sri Kemboja. Akibatnya Sri Pahang tewas dan pulang ke Tasik Chini dalam keadaan parah.

Tok Gedut iaitu Pawang Diraja yang menjadi pengikut Datuk Bahaman cuba merawat Sri Pahang namun tidak berjaya. Adik Sri Pahang bersisik gangsa menyimpan dendam terhadap Sri Kemboja, malangnya dia perlu bertapa selama 100 tahun untuk bertukar sisik emas baharulah dia boleh menandingi Sri Kemboja.

Pawang Mat diserang oleh Joyo, berlakulah pertempuran yang dahsyat di loji rawatan air Kampung Mempatih di tebing Sungai Semantan, dia hampir tewas namun nasib menyebelahinya kerana kedatangan Din Sumbawa dan Lanchang tepat pada waktunya.

Ketika menyelamatkan Ayah Mat, Lanchang terkena pukulan Joyo tercampak ke dalam Sungai Semantan dan disambar sesuatu, terus hilang. Pawang Mat diselamatkan oleh Din Sumbawa namun nazak di rumah.

Imam Hambali, rakan seguru Pawang Mat bertungkus-lumus cuba utk mengubati penyakit misteri Pawang Mat, Lanchang masih belum ditemui.

Di Bumi Semantan, seorang tua misteri digelar Nenda Gumum bersama anaknya, Melati menemui seorang budak lelaki bernama Nizam di tebing Lubuk Sengarat dalam keadaan parah.

Bumi Sengarat tiba-tiba mempunyai emas di bawah pemerintahan Paduka Demang Aduka Jagat.

Kedua-dua puteranya Jajaka Pura dan Taruna Jati sangat menyintai Melati namun Melati menyimpan perasaan kepada Nizam yang telah sembuh.

Putera Jajaka Pura bersama dua orang panglima terbilang di Bumi Semantan yang dikenali sebagai Panglima Jalak dan Panglima Sabung cuba melarikan Melati dari Lubuk Sengarat, Nizam dapat menyelamatkan Melati.

Nenda Gumum cuba untuk membawa permaisuri Paduka Demang keluar dari istana. Apakah hubung kait antara Permaisuri Paduka Demang itu dengan Nenda Gumum yang kini berusia 100 tahun?

“Lanchang didedikasikan khas buat semua pembaca khususnya guru-guru serta Pawang Mat dan Cikgu Khalisya (bukan nama sebenar) yang sudi berkongsi pengalaman mereka

“Manakala Lanchang 2 pula, khas buat semua pahlawan yang telah berjuang bermandi darah demi kedaulatan negara di bumi semantan seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah,” ujar Hasrulhisam.

Tambahnya, di selitkan gambar-gambar trivia seperti Telaga British, pemandangan Sungai Semantan di Lubuk Sengarat, Gigi Raham anak naga yang berkait rapat dengan kisah Lanchang 2.

Bagi penggemar novel , hayati kisah Lanchang dan Lanchang 2 berharga RM30 senaskah diterbitkan oleh Syahida Hassan Enterprise (SHE).

Mereka boleh berkunjung ke Lembayung, No.16-2, Jalan Elektron U16/F, Seksyen U16, Shah Alam atau menerusi talian 018-3280829, FB: RAK BUKU NURUL SYAHIDA serta website:www.syahidahassanenterprise.com – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat