DOF saran langkah mitigasi hadapi fenomena El Nino

Oleh Zihan Zari

PUTRAJAYA – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menyarankan para pengusaha akuakultur, khususnya penternak ikan sangkar dan kolam, agar mengambil langkah proaktif bagi mendepani jangkaan fenomena El Nino yang diramal melanda negara tahun ini.

DOF dalam kenyataan berkata fenomena cuaca ekstrem ini dijangka memberi kesan signifikan kepada ekosistem akuakultur, termasuk peningkatan suhu air, risiko penularan penyakit, serta ancaman ledakan alga berbahaya yang boleh menjejaskan kelangsungan operasi dan produktiviti pengeluaran ikan negara.

“Cuaca panas dan kering yang melampau memberi kesan langsung kepada kualiti air. Peningkatan suhu bukan sahaja mengurangkan kandungan oksigen terlarut (Dissolved Oxygen), bahkan stres kepada ternakan, gangguan metabolisme, serta meningkatkan kerentanan ikan terhadap serangan penyakit.

“Berdasarkan rekod DOF, terdapat seramai 1,714 pengusaha sangkar air tawar di seluruh negara, dengan kepadatan tertinggi di negeri Pahang (1,113 pengusaha), Terengganu (332), dan Kelantan (132),”kata kenyataan itu.

“Melalui pencapaian pengeluaran sebanyak 17,744.02 tan metrik bagi tahun 2025, Jabatan komited memastikan kelangsungan pendapatan golongan sasar ini tidak terjejas ekoran ketidaktentuan iklim.

“Selain faktor suhu, para pengusaha turut digesa berwaspada terhadap ancaman ledakan alga (Algal Bloom).

“Cuaca panas cenderung menggalakkan pertumbuhan alga secara mendadak yang
berupaya menyedut oksigen pada waktu malam, sekali gus berisiko tinggi mengakibatkan kematian ikan secara besar-besaran, ”katanya.

Dalam kenyataan yang sama, Ketua Pengarah Perikanan, Dato’ Hj. Adnan Hussain berkata DOF sentiasa memantau rapat perkembangan cuaca dan komited membantu pengusaha meminimumkan risiko kerugian.

“Penternak dinasihatkan melaksanakan langkah pencegahan awal seperti mengurangkan kepadatan benih dan memantau rapi rejim pemberian makanan.

“Keutamaan kita adalah memastikan rantaian bekalan protein negara kekal stabil dan kebajikan ekonomi pengusaha terus terpelihara, ”ujarnya.

Ujarnya lagi, bagi mengurangkan impak fenomena ini, jabatan menggariskan beberapa langkah mitigasi utama untuk diamalkan oleh para pengusaha antaranya, mengimbangi kepadatan ternakan dengan melepaskan benih dalam jumlah yang lebih kecil bagi memastikan ikan mempunyai ruang dan oksigen yang mencukupi.

“Pengusaha juga dinasihatkan agar melaksanakan kawalan pemakanan yang lebih ketat bagi mengelakkan pemberian makanan berlebihan yang boleh merosotkan kualiti air serta meningkatkan tahap ammonia yang toksik kepada ikan.

“Selain itu, pemantauan rapi terhadap parameter air seperti suhu dan tahap oksigen perlu dilakukan secara berkala bagi mengesan sebarang perubahan awal yang boleh mengancam ternakan,”tambahnya.

“Penggunaan sokongan mekanikal seperti pemasangan kincir air atau pam tambahan juga amat digalakkan jika perlu, bagi membantu meningkatkan peredaran oksigen dalam sangkar atau kolam sepanjang tempoh cuaca ekstrem ini.

“Pengusaha yang terkesan boleh membuat laporan polis bagi tujuan rekod dan rujukan permohonan bantuan di bawah Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan (SPeKS) Akuakultur bagi peruntukan akan datang, tertakluk kepada kelulusan dan dana semasa jabatan.

“DOF akan terus memberikan khidmat nasihat teknikal bagi memastikan komuniti akuakultur negara berupaya mengharungi cabaran cuaca ini dengan tahap kesiapsiagaan yang tinggi,”tambahnya lagi.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat