KUALA LUMPUR – ADUN bebas Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir kini rasmi sertai Bersatu.
Memetik Astro Awani, beliau menyerahkan borang keahliannya kepada Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam Majlis Makan Malam Ulang Tahun Kedua Bersatu Sabah, pada Isnin malam.
Pada 25 Februari lalu, beliau yang merupakan wakil rakyat Sebatik telah mengisytiharkan keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).
“Hari ini memang kita menyerahkan borang penyertaan, borang keahlian menyertai parti Bersatu.
“Perkara ini dilakukan setelah berbincang dengan pihak akar umbi dan juga ketua-ketua cawangan yang sebelum ini daripada cawangan Parti Warisan Sabah,” katanya.
Sebelum ini, tindakan ADUN Sebatik yang bertindak keluar parti mengundang kontroversi dan diselar pucuk pimpinan Warisan yang kemudiannya mengheret perkara itu muka pengadilan.
Ini termasuklah tindakan Warisan menggesa Hassan A Gani untuk mengosongkan kerusi DUN diwakilinya kerana didakwa telah menandatangani surat akuan bersumpah ketika penamaan calon pada tahun lalu.