PETALING JAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah membuat laporan polis berhubung tindakan individu yang memuat naik kandungan di media sosial yang didakwa mempermainkan serta mempersendakan ajaran Islam.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, berkata pihaknya memandang serius perkara tersebut dan turut mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut.
“Jakim telah melaporkan aduan rasmi kepada MCMC bagi tindakan lanjut terhadap kandungan yang menyentuh sensitiviti agama Islam.
“Laporan polis juga telah dikemukakan bagi memastikan tindakan tegas diambil terhadap individu berkenaan selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa kenyataan di media sosial tersebut boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam masyarakat dan berpotensi menimbulkan ketegangan antara agama serta kaum.
“Oleh itu, semua pihak harus menghentikan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi, kemarahan dan ketegangan dalam masyarakat.
“Dalam bulan Ramadan yang penuh mulia ini, semua pihak dinasihatkan untuk mengamalkan sikap hormat-menghormati serta menjaga adab,” katanya.
Sirajuddin turut menekankan bahawa keamanan dan kesejahteraan negara hanya dapat dikekalkan melalui sikap saling menghormati serta memahami antara masyarakat.