KUALA LUMPUR – Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendedahkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengalami rizab negatif berjumlah RM0.338 bilion pada tahun 2022.
“LTAT tidak membuat penjejasan nilai terhadap pelaburan dalam syarikat subsidiari berjumlah RM0.812 bilion, iaitu Boustead Holdings Berhad berjumlah RM0.768 bilion dan Pharmaniaga Berhad berjumlah RM0.044 bilion.
“Perkara ini menyebabkan untung bersih dan pelaburan dalam syarikat subsidiari terlebih nyata berjumlah RM0.812 bilion.
“LTAT telah merekodkan keuntungan bukan tunai sebanyak RM0.189 bilion yang telah digunakan sebagai asas untuk pembayaran dividen tahun 2022 kepada pencarum,” menurut laporan itu.
Dalam pada itu, LKAN juga menjangkakan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) akan menghadapi masalah untuk membuat bayaran balik sukuknya.
Menurutnya, PR1MA dilaporkan menghadapi kerugian bersih berjumlah RM0.257 bilion makakala liabiltii berjumlah RM5.746 bilion.
“Kedudukan Tunai dan Kesetaraan Tunai PR1MA adalah sejumlah RM0.428 bilion.
“Baki pinjaman sukuk berjumlah RM3.792 bilion perlu dilunaskan hingga tahun 2027 termasuk Sukuk Tranche 2 berjumlah RM1.750 bilion yang akan matang pada bulan Oktober 2024.
“Keadaan ini menunjukkan PR1MA mempunyai komitmen bayaran balik sukuk yang tinggi hingga tahun 2027,” kata laporan berkenaan.