Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Rapid KL, selaku jenama kepada operasi rel dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA), mencipta sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya meraih Anugerah Gangsa bagi kategori Pengangkutan dan Pelancongan pada Majlis Anugerah Putra Brand Awards 2025
di Hotel Majestic, dekat sini, baru-baru ini.
PRASARANA dalam kenyataan berkata kejayaan sulung ini menjadi detik penting yang melakar pencapaian baharu Rapid KL sebagai antara jenama pengangkutan awam paling diyakini rakyat, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai tulang belakang sistem mobiliti bandar di Lembah Klang.
“Anugerah berprestij ini mencerminkan keyakinan dan kepercayaan tinggi orang ramai terhadap keupayaan Rapid KL dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang selamat, konsisten dan boleh dipercayai, selaras dengan keperluan harian jutaan pengguna, ”kata kenyataan itu.
Dalam kenyataan yang sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Amir Hamdan, berkata anugerah tersebut merupakan satu penghormatan besar daripada rakyat serta menjadi pemangkin semangat kepada organisasi untuk terus memperkukuh kecemerlangan perkhidmatan.
“Pengiktirafan ini adalah hasil dedikasi, komitmen dan kerja keras seluruh warga kerja Rapid KL yang sentiasa meletakkan kepentingan pengguna sebagai keutamaan. Ia turut menjadi dorongan kepada kami untuk terus melangkah lebih jauh, berinovasi dan mempertingkatkan pengalaman perjalanan rakyat,” katanya.
Beliau menambah, pencapaian ini membuktikan bahawa usaha berterusan dalam memperkukuh kebolehpercayaan perkhidmatan, memantapkan pematuhan operasi serta mempertingkatkan mutu penyampaian mula membuahkan hasil yang bermakna.
Ujar beliau, sebagai pengendali pengangkutan awam utama di Lembah Klang yang mengendalikan lebih sejuta perjalanan penumpang setiap hari, Rapid KL kekal komited untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan, memperkukuh kecekapan operasi serta memacu inovasi digital ke arah pembangunan sistem pengangkutan awam yang lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan, selaras dengan visi untuk menjadi pilihan utama mobiliti bandar.
“Kejayaan ini turut mencerminkan komitmen berterusan Prasarana dalam memastikan jenama Rapid KL kekal relevan, dinamik dan berdaya saing seiring perubahan landskap mobiliti, kemajuan teknologi serta aspirasi masyarakat bandar yang semakin berkembang, ”ujarnya lagi.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pengguna setia dan seluruh warga kota atas sokongan padu serta kepercayaan yang dizahirkan melalui undian, sambil menegaskan bahawa pencapaian ini adalah kejayaan bersama rakyat dan seluruh warga kerja Rapid KL.
Untuk rekod, Putra Brand Award adalah anugerah jenama paling berprestij telah dilancarkan pada tahun 2010 oleh Persatuan Agensi Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As) dengan kerjasama Malaysia’s Most Valuable Brands (MMVB).
Anugerah ini mengiktiraf kecemerlangan dalam pembinaan jenama merentasi pelbagai kategori diukur berdasarkan keutamaan pengguna dan mendapat pengiktirafan MATRADE serta sokongan daripada Persatuan Pengiklan Malaysia (MAA), Media Specialists Association (MSA) dan Malaysian Digital Association (MDA).-SUARA.TV



