KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tegas tidak sesekali ‘lari’ daripada usaha membebaskan Datuk Seri Najib Razak daripada hukuman penjara.
Beliau yang juga Presiden Umno yakin ada sinar di hujung terowong buat bekas Perdana Menteri itu sekiranya Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan penuh kepada Najib.
“Saya menjadi setiausaha politik kepada Datuk seri Najib Razak pada 1 Oktober 1987, dan saya pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada Najib.
“Logik hukum akal hanya orang yang tak rasional sahaja meninggalkan orang yang pernah berbudi padanya , jadi oleh kerana beliau bukan saja boss saya, sahabat saya dan adik beradik saya walaupun bukan sedarah sedaging tetapi itulah yang ada pada saya.
“Kita telah melakukan di peringkat perundangan sampai ke peringkat akhir iaitu judicial review. Kini Lembaga Pengampunan itu di bawah Yang di-Pertuan Agong dan inilah usaha yang terakhir yang sedang kami lakukan dan bagaimana kenyataan yang saya keluarkan kita telah melakukan satu tindakan supaya peguam Najib memohon pengampunan penuh daripada Agong bagi pihak Najib dan Najib telah memberikan mandat kepada peguamnya untuk memohon ini kepada Agong.
“… dan Insya-Allah saya tidak akan pernah lari daripada membantu Najib, sinar di hujung terowong itu ada tetapi bila dia akan datang itu kita mohon perkenan Agong,” ujar Zahid dalam video yang dimuat naik di Facebook beliau.