KUALA LUMPUR – Badan Kajian Pendapat Ilham Centre menafikan terhadap pandangan dan dapatan kajian yang dibentangkan oleh salah seorang felo institusi itu pada Konvensyen Khas Pemuda Umno yang berlangsung Sabtu lalu.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata pembentangan oleh Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis mencerminkan pandangan peribadi individu berkenaan sekali gus tidak mewakili dapatan rasmi, pendirian institusi atau analisis berasaskan data Ilham Centre.
“Segala maklumat, tafsiran dan kesimpulan yang dibentangkan adalah tanggungjawab sepenuhnya pembentang dan tidak boleh dianggap sebagai laporan, kajian atau kenyataan rasmi Ilham Centre,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru Hisomuddin turut menegaskan bahawa sebarang rujukan kepada dapatan rasmi Ilham Centre hanya sah apabila dikeluarkan melalui saluran komunikasi yang diberi kuasa oleh institusi itu, termasuk laporan rasmi, kenyataan media atau pembentangan yang dimandatkan oleh pihak pengurusan.
Bagaimanapun, katanya, organisasi itu menghormati kebebasan bersuara serta kepelbagaian pandangan akademik dan analisis yang dikemukakan oleh panel jemputan dalam platform wacana awam.
Kenyataan Hisomuddin itu menyusul pembentangan satu tinjauan oleh Mujibu pada Konvensyen Khas Pemuda Umno, yang melibatkan 1,800 responden dan mendakwa hanya 15 peratus responden Melayu sanggup menerima kerjasama antara Umno dan DAP, manakala 62 peratus menolaknya dengan keras.
Ketua Penerangan Umno Datuk Seri Azalina Othman Said semalam mempertikaikan kaji selidik itu dengan mempersoalkan identiti serta kredibiliti responden yang dirujuk bagi menyokong gesaan supaya parti menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan.
Konvensyen khas itu menyaksikan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh secara terbuka menggesa kepimpinan tertinggi parti supaya menarik balik sokongan terhadap kerajaan perpaduan, menerima Pas sebagai sekutu baharu, serta tidak takut untuk kembali menjadi pembangkang.



