MCMC Sita Lebih 10,000 Peralatan Komunikasi Tidak Patuh Standard Bernilai RM1 Juta

CYBERJAYA, — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyita lebih 10,000 unit peralatan komunikasi yang dipercayai tidak diperakui dan tidak mematuhi piawaian teknikal standard dalam satu operasi penguatkuasaan dikenali sebagai Op Optik yang dijalankan di Klang dan Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menurut kenyataan media MCMC, operasi berkenaan dilaksanakan hasil maklumat risikan menerusi kerjasama strategik bersama SIRIM dan melibatkan seramai 69 pegawai. Operasi tersebut mengambil masa selama 19 jam, bermula jam 12 tengah hari hingga 4 pagi.

Dalam operasi itu, sebanyak 10,112 unit peralatan disyaki tidak diperakui telah disita dengan anggaran nilai keseluruhan mencecah RM1 juta. Antara peralatan yang dirampas termasuk kamera litar tertutup tanpa wayar (wireless CCTV) serta beberapa peralatan sokongan operasi premis seperti komputer, mesin cetak, telefon bimbit dan router WiFi.

MCMC turut mendedahkan bahawa aktiviti pemasaran dan penjualan peralatan berkenaan dijalankan menerusi pelbagai platform e-dagang dan media sosial. Susulan itu, seramai 40 individu telah diambil keterangan awal, manakala sembilan Notis Kehadiran dikeluarkan kepada individu termasuk pengarah syarikat, pengurus operasi, pembantu gudang, hos siaran langsung dan pencipta kandungan bagi menghadiri sesi rakaman percakapan di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya.

Menurut MCMC, penjualan dan penggunaan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui boleh menjejaskan keselamatan pengguna kerana gagal mematuhi piawaian teknikal ditetapkan, selain berpotensi mengganggu rangkaian perkhidmatan, menurunkan kualiti perkhidmatan serta mengancam integriti pasaran tempatan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

MCMC menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras penjualan kelengkapan komunikasi tidak diperakui demi melindungi kepentingan pengguna serta memastikan pematuhan kepada peraturan sedia ada.  

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat