KUALA LUMPUR, — Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah secara rasmi dipecat daripada keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuat kuasa serta-merta selepas keputusan dibuat oleh Lembaga Disiplin parti itu.
Menurut dokumen rasmi bertarikh hari ini, Lembaga Disiplin Bersatu yang bermesyuarat pada 5 Januari 2026 memutuskan bahawa Saifuddin telah melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu, sekali gus menyebabkan hak-hak keahlian beliau dalam parti ditamatkan di bawah peruntukan Fasal 22.5.
Notis pemecatan tersebut menyatakan keputusan itu berkuat kuasa mulai tarikh surat dikeluarkan, namun Saifuddin masih diberikan ruang untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan parti dalam tempoh 14 hari.
Sumber dalaman Bersatu memaklumkan, tindakan tegas itu dibuat susulan ketegangan berpanjangan dalam parti sejak beberapa bulan kebelakangan ini, khususnya berkaitan perbezaan pandangan terhadap kepimpinan tertinggi dan hala tuju strategik Bersatu. Saifuddin sebelum ini dikaitkan dengan kelompok dalam parti yang secara terbuka mendesak perubahan kepimpinan, sekali gus mencetuskan siasatan disiplin.
Sebelum pemecatan ini, beliau telah digugurkan daripada beberapa jawatan dalam struktur parti dan gabungan di peringkat negeri, selain dipanggil memberi penjelasan kepada Lembaga Disiplin berhubung dakwaan pelanggaran disiplin parti.
Difahamkan, Saifuddin mengesahkan penerimaan notis pemecatan tersebut dan sedang meneliti langkah seterusnya, termasuk kemungkinan mengemukakan rayuan seperti yang diperuntukkan oleh perlembagaan parti.
Pemecatan keahlian Bersatu ini bagaimanapun tidak memberi kesan serta-merta terhadap kedudukan beliau sebagai Ahli Parlimen Indera Mahkota, yang tertakluk kepada mandat pengundi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.



