KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menjalin kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Melaka menerusi perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka (KDM) hari ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Inisiatif KDM ini merupakan langkah strategik untuk memastikan setiap premis di Negeri Melaka dilengkapi dengan alamat yang lengkap dan sistematik.
“Perjanjian ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan teknologi dan infrastruktur digital yang lebih mampan di Negeri Melaka, serta memberi manfaat besar kepada komuniti setempat.
“Inisiatif Kampung Digital ini adalah yang pertama di Malaysia dengan penggunaan kod QR bertujuan memodenkan sistem alamat rumah di 623 kampung tradisional di Negeri Melaka serta meningkatkan kualiti akses data perkhidmatan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya projek ini telah menerima pengiktirafan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan cap dagangan logo, menjadikannya model kampung digital di seluruh negara.
“Di bawah inisiatif ini, MCMC akan bekerjasama dalam aspek sokongan teknikal di samping perkongsian maklumat dan data untuk pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS).
“Dengan adanya NAS kelak, ia akan menjadi sistem tunggal yang berautoriti, seragam dan berpusat untuk mengurus lebih daripada 12 juta alamat di seluruh negara melalui kerjasama antara pelbagai pihak,” katanya.
Tambah Fahmi lagi, kerjasama antara MCMC dengan Kerajaan Negeri Melaka melalui inisiatif ini adalah amat penting dan diharapkan dapat terus diperkukuh.
“Projek ini bukan sahaja memberi impak positif kepada Negeri Melaka, malah dijangka menjadi model kepada negeri-negeri lain di Malaysia dalam membangunkan ekosistem digital yang lebih inklusif dan berdaya saing.
Terdahulu Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka antara Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim bin Fateh Din dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Azhar Haji Arshad dan telah disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Melaka, Datuk Fairul Nizam Roslan, Pengarah Urusan MCMC Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus dan Timbalan Pengarah Urusan MCMC, Datuk Zulkarnain Mohd Yasin.