Kes Najib Razak bawa Malaysia menuju krisis Perlembagaan – Ashraf Abdulah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR, 6 JANUARI 2025 – Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang memihak kepada Datuk Seri Najib Razak telah mencetuskan kontroversi besar, membongkar dakwaan pelanggaran serius terhadap titah Diraja dan mengheret negara ke kancah krisis perlembagaan.

Menurut bekas Ketua Pengarang Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Mohd Ashraf Abdullah, keputusan itu mendedahkan tindakan Kerajaan dan pihak berkuasa tertentu yang didakwa mengabaikan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16. Beliau menyifatkan insiden ini sebagai penghinaan terhadap institusi Raja yang menjadi teras kepada sistem perlembagaan negara.

“Surat dari Majlis Kesultanan Pahang bertarikh 4 Januari 2025 mengesahkan kewujudan dokumen tambahan yang dipertikaikan. Ini membuktikan titah Diraja bukan sahaja tidak dipatuhi, malah sengaja disembunyikan daripada pengetahuan pihak pembelaan dan rakyat,” katanya.

Tambah beliau, Sultan Pahang yang juga Yang di-Pertuan Agong ke-16 terpaksa membuat penjelasan terbuka sebanyak dua kali, satu langkah yang luar biasa dalam tradisi Melayu. “Titah Raja adalah muktamad. Pengulangan titah seperti ini hanya mencerminkan betapa seriusnya penghinaan yang telah berlaku,” tulisnya melalui akaun media sosial Facebooknya.

Mohd Ashraf turut menegaskan bahawa tindakan menyembunyikan titah tersebut telah memaksa Najib mencari keadilan melalui sistem kehakiman, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai integriti pihak yang bertanggungjawab terhadap undang-undang dan Perlembagaan. Beliau tidak menolak kemungkinan wujud konspirasi politik yang terancang di sebalik krisis ini.

Dalam pandangan beliau, kegagalan mematuhi titah Diraja dan menyembunyikan fakta yang berkaitan merupakan jenayah serius yang perlu disiasat melalui penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

“Rakyat berhak mengetahui kebenaran, dan langkah drastik perlu diambil untuk memulihkan keyakinan terhadap sistem pentadbiran negara,” ujarnya.

Keputusan ini juga telah mewujudkan defisit kepercayaan antara rakyat dan Kerajaan, yang menurutnya, sukar untuk dipulihkan dalam masa terdekat. “Krisis ini adalah ujian besar buat pentadbiran sedia ada. Mereka perlu bertindak segera untuk memperbetulkan keadaan sebelum keyakinan rakyat runtuh sepenuhnya,” katanya.

Keputusan Mahkamah Rayuan bukan sekadar kemenangan untuk Najib, tetapi turut menyerlahkan kelemahan ketara dalam pengurusan perundangan dan pentadbiran negara.

Tindakan segera dan telus diperlukan untuk memastikan insiden sebegini tidak berulang dan maruah institusi Raja terus terpelihara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat