Pegawai Tadbir Kerajaan Sokong Penuh Perdana Menteri

- Advertisement -

OLEH: Afiqa

Menjawat jawatan terpenting negara bukanlah suatu perkara yang mudah. Tambahan lagi menyandang di saat landskap politik negara kucar-kacir. Cabarannya bukan sekadar pada kemampuan mentadbir negara tetapi juga pada kebolehan mengawal dan mententeramkan kekacauan politik yang berlaku.

Figura Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob memberikan aura kestabilan politik dan pentadbiran negara selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan dan menerajui tampuk pimpinan negara.

Mengutamakan usaha-usaha untuk meningkatkan integriti dan tadbir urus negara menjadi fokus YAB PM bagi kepimpinannya. Pengenalan Indeks Tadbir Urus Malaysia yang berfungsi sebagai kayu ukur prestasi perkhidmatan kerajaan kepada rakyat mengambarkan keseriusan YAB PM berkenaan ketelusan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat. Indeks ini amat penting sebagai mekanisme semak dan imbang yang merupakan salah satu komponen utama sistem pentadbiran negara.

Berpersonaliti tenang dan tidak mudah melatah, YAB PM telah berjaya mententeramkan persekitaran politik negara yang hangat setelah beliau menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan. Perkara ini memberi peluang dan ruang bagi kerjasama dwipartisan di Malaysia.

Kepimpinan yang mengutamakan keperluan dan kepentingan rakyat tentunya menjadi perhatian dan faktor penilaian oleh masyarakat Malaysia dalam soal sokongan kepada kerajaan. Hal ini berikutan daripada kesedaran masyarakat tentang fungsi kerajaan Persekutuan sebagai penyampai perkhidmatan dan tanggungjawab kerajaan untuk bekerja demi rakyat. Kemampuan kerajaan pimpinan YAB PM untuk meletakkan kepuasan rakyat sebagai fokus utama kerajaan akan menentukan tahap sokongan rakyat kepada barisan pimpinan beliau. Aspirasi Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB PM memberikan rasa inklusiviti kepada setiap ahli masyarakat yang mana sememangnya kena pada masanya memandangkan kecelaruan politik sebelum ini amat merungsingkan rakyat.

Perancangan YAB PM untuk memastikan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 adalah secara tersusun dan penuh integriti memberi gambaran baik kepada masyarakat yang kerajaan Persekutuan benar-benar serius dalam menjadikan Malaysia negara yang bebas rasuah seiring dengan titah Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar mendokong pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional.

Penting bagi pemimpin negara untuk menjadi teladan terbaik kepada rakyat dalam hal berkaitan moral dan prinsip etika dalam menjalankan amanah. Perkara ini juga menjadi salah satu penilaian masyarakat terhadap pimpinan sesebuah kerajaan. Rakyat sudah muak dengan kerajaan yang tidak kompeten dan hanya memikirkan persekitaran peribadi sendiri sahaja. Keseriusan YAB PM dalam hal integriti memberikan persepsi yang baik kepada masyarakat terhadap kerajaan pimpinan beliau. Ketegasan beliau dalam membuat keputusan yang melibatkan rakyat menunjukkan sisi personaliti beliau yang kena dengan iltizam integriti yang dibawanya.

Benar, tidak semua orang sempurna dan tentunya akan sentiasa ada pihak yang tidak berpuas hati dengan beberapa tindakan kerajaan. Walau bagaimanapun, tindakan mengaku kekurangan di pihak kerajaan dan berakauntabiliti terhadap semua tindakan mereka adalah suatu perkara yang penting untuk diamalkan oleh kerajaan. Malahan, tindakan susulan yang diambil oleh kerajaan bagi mengatasi kepincangan itu adalah yang paling utama bagi rakyat.

Konklusinya, rakyat sememangnya celik akan hak mereka dan tanggungjawab kerajaan kepada rakyat. Oleh yang demikian, kerajaan tidak boleh culas dalam melaksanakan amanah yang diberikan demi kepentingan rakyat dan demi memastikan sokongan yang berterusan kepada kerajaan semasa. Berintegriti dalam menjalankan tugas adalah perkara yang kritikal untuk diberikan fokus dan keutamaan oleh kerajaan. Perancangan dan kredibiliti yang ada pada YAB PM diharap dapat memenuhi keperluan dan ekspektasi rakyat terhadap pimpinan kerajaan Persekutuan.

Putrajaya

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,612FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat