KUALA LUMPUR – Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor dipilih sebagai venue Perlawanan Akhir Piala FA 2026–2027 yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 16 Januari 2027.
Malaysian Football League (MFL) menerusi hantaran di laman Facebook rasminya memaklumkan, keputusan itu dibuat hasil Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL Ketiga bagi Penggal 2025-2029 pada 3 November 2026.
Pemilihan SSI dibuat susulan TM Stadium Nasional tidak dapat digunakan berikutan kerja-kerja menaik taraf padang, trek balapan dan fasiliti stadium yang sedang dilaksanakan sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan SEA 2027.
Berdasarkan pengesahan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), kerja-kerja naik taraf berkenaan dijangka siap pada Mei 2027.
Menurut MFL, pemilihan SSI mengambil kira beberapa faktor penting bagi memastikan kelancaran penganjuran perlawanan akhir berprestij itu, termasuk keadaan permukaan padang, pengurusan logistik, kemudahan penginapan pasukan serta fasiliti stadium.
Aspek lain yang turut diberi perhatian ialah kemudahan pentas utama, corporate suite, akses ke stadium, keselamatan serta operasi produksi siaran langsung.
SSI yang mempunyai kapasiti 35,109 penonton dengan fasiliti lengkap dan terbaik turut menjadi venue pilihan selepas penutupan TM Stadium Nasional bagi acara sukan ketika ini.
Reputasi SSI sebagai venue bertaraf antarabangsa turut menjadi antara faktor pemilihan, dengan stadium itu pernah menganjurkan beberapa perlawanan membabitkan Harimau Malaya.
Antaranya aksi persahabatan Tier 1 menentang Palestin pada 8 September 2025 dan perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Nepal pada 25 Mac 2025.
Untuk rekod, SSI juga pernah menjadi venue Perlawanan Akhir Piala FA 2023 yang menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) dengan keputusan 2-0 pada 22 Julai 2023.
Penganjuran final edisi 2026–2027 itu sekali gus bakal menyaksikan SSI kembali menjadi pentas pertembungan dua pasukan terbaik yang akan berentap bagi merebut trofi kejuaraan.
MFL berharap pemilihan SSI sebagai gelanggang perlawanan akhir dapat memberikan pengalaman terbaik kepada kedua-dua pasukan serta penyokong yang hadir menyaksikan aksi kemuncak Piala FA itu nanti.



