Umno perlukan Pas untuk menang PRU-15- Annuar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Langkah menyegerakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi memenuhi tujuan lain jika silap langkah akan membawa padah malah ia adalah satu tindakan ‘kamikaze’ politik buat Umno dan perkara itu harus dielakkan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, Umno harus menyusun strategi untuk menang dengan membuat kajian terperinci dan objektif supaya kesilapan lampau tidak berulang.

Tegas Annuar, Umno tidak harus terjun ke PRU tanpa menyempurnakan penyatuan Melayu, apa lagi cuba bergerak solo dalam situasi politik yang sudah banyak berubah.

“Saya mengikuti dengan rapat Muktamar PAS dan resolusi yang diputuskan di muktamar tersebut. PAS telah mengambil satu langkah strategik bila mengisytiharkan dasar meneruskan kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“PRU tidak lama lagi. Ia harus disegerakan sebaik saja kita siap siaga dari semua sudut. Top 5 UMNO tentunya sudah ada garis masa yang ditentukan. Satu dari kesiapsiagaan terpenting adalah formula untuk menang.

“Menyegerakan PRU bagi memenuhi tujuan lain jika membawa padah, adalah satu tindakan ‘kamikaze’ politik buat Umno. Kita harus elakkan itu,” kata Annuar dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Ahli Parlimen Ketereh itu lagi, politik negara hanya stabil jika teras dan tiang seri politik kukuh.

“Teras itu berpaksikan politik orang Melayu yang mantap.

“Strategi musuh adalah untuk melihat politik Melayu lemah. Ia lemah bila orang Melayu berpecah.

“Perpaduan Melayu menjadi teras kekuatan Umno selama ini. Sejak penubuhannya 1946, Umno adalah tonggak perpaduan orang Melayu yang paling utama,” ujarnya.

Annuar memberitahu, Umno perlu memimpin perpaduan dan penyatuan.

Malah katanya, pendirian PAS harus dilihat secara positif dan terbuka.

“Strategi PRU-15 perlu digarap rapi dan bukan atas dasar emosi, atau kepentingan diri.

“Umno perlu menang dan terus memimpin.

“Peranan ini akan hilang daripada Umno jika kita cuba menyendiri dan tidak mengutamakan peranan asas penubuhannya, iaitu sebagai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu,” kata Annuar.

Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-68 bertema Malaysia Sejahtera baru-baru ini meluluskan 13 usul termasuk penyatuan parti politik dan pertubuhan Melayu-Islam pada PRU-15.

Usul yang dikemukakan oleh Dewan Ulama PAS Pusat itu bertujuan mengembalikan kuasa parti-parti politik teras Melayu-Islam dalam pilihan raya berkenaan termasuk meneruskan kerjasama dengan UMNO melalui platform Muafakat Nasional (MN) untuk memastikan situasi satu lawan satu pada PRU-15.

Semasa sesi perbahasan usul itu di Kompleks Pas Kedah di Alor Setar, perwakilan Dewan Ulama Pas Pusat, Roslan Md Isa berkata, Pas perlu menyatukan parti-parti politik teras Melayu supaya tidak terjadi perpecahan undi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat