PAS Mahu Kukuhkan MN, Perkasakan PN – Idris Ahmad

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Status hubungan PAS dengan BERSATU dan UMNO tidak berbangkit kerana parti berkenaan berpegang pada prinsip mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan pada masa sama memperkasakan Perikatan Nasional (PN).

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, berkata apa yang penting ialah tiada perpecahan yang boleh membuka peluang untuk Pakatan Harapan (PH).

“Matlamat kita ialah jangan berpecah, kalau berpecah PH akan memerintah. Kita nak bersama (UMNO dan BERSATU), tiada guna kita bergaduh,” katanya kepada BH, hari ini.

Mengenai persefahaman PAS dan UMNO di Terengganu, khususnya dalam aspek pengagihan kerusi, beliau berkata, ia masih diperingkat awal perbincangan.

“Masih awal, kita belum ada perbincangan yang masak lagi, cuma asas awal yang kita bincang. Setakat ini tiada masalah, hubungan kita baik malah baru-baru ini kita ada bertemu (mesyuarat),” katanya.

Kelmarin, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan kedua-dua parti itu telah mencapai 70 peratus persefahaman untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, menerusi persefahaman dicapai mesyuarat MN, mana-mana parti memenangi sesuatu kerusi sebelum ini akan kekal bertanding di kawasan berkenaan pada PRU-15.

Pembahagian kerusi antara UMNO dan PAS di Terengganu dikatakan berdepan kesukaran apabila Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said sudah beberapa kali menyatakan parti itu akan meletakkan calon di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

Dalam jawapan balasnya, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Husain Awang berkata, parti itu juga akan meletakkan calon di semua kerusi sekiranya UMNO enggan meneruskan kerjasama dalam PRU-15.

Terengganu memiliki 32 kerusi DUN dengan 22 dikuasai PAS dan bakinya milik UMNO. Beberapa kerusi DUN dimenangi PAS dengan majoriti tipis.

Di peringkat Parlimen, terdapat lapan kerusi dengan enam daripadanya dikuasai PAS, manakala UMNO dan BERSATU, masing-masing satu kerusi. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat