Dasar Pengambilan Pelajar Ke MRSM Tanpa Ambil Kira Aliran Sekolah Dikekalkan – Mahdzir

- Advertisement -

KUALA NERANG – Kerajaan bersetuju mengekalkan dasar pengambilan pelajar ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) tanpa mengambil kira aliran sekolah selari dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata semua pelajar berhak mendapat peluang menyambung pelajaran di MRSM sekali gus cadangan perubahan dasar berkaitan perkara itu yang diumumkan sebelum ini tidak diguna pakai.

“MRSM industri pendidikan yang dah lama, jadi saya nak tegaskan hari ini Kementerian Pembangunan Luar Bandar, setelah berbincang dengan pegawai dan kepimpinan di MARA (Majlis Amanah Rakyat), kita setuju kembali kepada dasar asal.

“Maksudnya pelajar Sekolah Agama (Bantuan Kerajaan), SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) dan SJKT (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil) juga boleh memohon (kemasukan ke MRSM),” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan amal Persatuan Wanita Tenaga Nasional Berhad (Pelitawanis TNB) kepada Hospital Kuala Nerang di sini hari ini.

Untuk rekod, beberapa pemimpin pembangkang sebelum ini menyuarakan bantahan terhadap syarat baharu kemasukan ke MRSM yang hanya menerima pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan dan Sekolah Kebangsaan.

Laman rasmi MRSM bagi kemasukan 2022 antaranya menyatakan kemasukan bagi pelajar tingkatan satu dan empat dihadkan kepada permohonan calon dari Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan sahaja.

Sebelum ini, syarat kemasukan ke MRSM hanya memerlukan pemohon sebagai warganegara Malaysia yang juga terbuka kepada pelajar yang bersekolah di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata kelayakan dan pemilihan pelajar pula dibuat berdasarkan Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) yang menguji kecenderungan mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta keperibadian pelajar.

Selain itu, beliau berkata dasar 10 peratus pengambilan pelajar Bukan Bumiputera juga kekal dan tiada sebarang perubahan selaras dengan konsep Keluarga Malaysia.

“MRSM hanya mampu menampung sejumlah 7,500 pelajar tingkatan satu dan 2,000 pelajar tingkatan empat bagi setiap sesi pengambilan tahunan berbanding permohonan yang diterima tahun ini berjumlah 77,834 bagi tingkatan satu dan 24,495 bagi tingkatan empat untuk sesi kemasukan pada tahun 2022,” katanya.

Mahdzir berkata dasar MARA juga menyasarkan untuk menyediakan kuota 60 peratus kepada pelajar cemerlang dalam kalangan keluarga B40 bagi mengikuti pengajian di MRSM.

Beliau berkata sistem pendidikan MRSM bertujuan membuka peluang pendidikan menengah bagi melahirkan pelajar Bumiputera yang holistik serta cemerlang dalam bidang akademik, sains, teknologi dan keusahawanan.

“Sistem Pendidikan MRSM juga sedikit berbeza dengan sistem pendidikan lain dari aspek kemampuan kognitif dan sahsiah pelajar.

“MRSM mengumpulkan pelajar cemerlang dan berpotensi tinggi selari dengan ciri-ciri Saintifik, Independen, Kreatif, Amanah dan Patriotik (SIKAP),” katanya.

Untuk rekod, terdapat 55 MRSM di seluruh negara yang mampu menampung 37,198 pelajar. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat