Individu Cemar Air Sungai Di Selangor Didakwa Minggu Depan

- Advertisement -

PETALING JAYA – Pihak yang terlibat menyebabkan pencemaran sungai di Selangor sekali gus mengakibatkan penduduk di Lembang Klang mengalami gangguan bekalan air akan didakwa minggu depan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, individu terbabit akan diambil tindakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655].

”Tindakan penguatkuasaan bersama pelbagai agensi seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Alam Sekitar (JAS), LUAS dan pihak berkuasa tempatan sedang berjalan melibatkan kerajaan persekutuan dan negeri.

“Saya ingin tegaskan bahawa pihak kementerian tidak akan berkompromi dalam menguatkuasaan peruntukan undang-undang.

“Proses pendakwaan akan dimulakan minggu depan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655],” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Tuan Ibrahim berkata, kawasan terjejas mencapai status pemulihan sehingga 51.6% dan Air Selangor menjangka bekalan akan pulih sepenuhnya secara berperingkat.

“SPAN mengarahkan Air Selangor supaya memaklumkan kepada pengguna tentang jadual pemulihan bekalan air mengikut kawasan dalam masa terdekat setelah sistem agihan bekalan air distabilkan.

“Hal ini termasuk memenuhkan semua tangki utama yang kosong, memastikan tekanan air mencukupi dan memastikan tiada ‘airlock’ dalam sistem perpaipan.

“Saya arahkan SPAN supaya menghubungi semua operator seperti Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) dan Syarikat Ranhill SAJ Sdn Bhd ( SAJ) untuk turut membantu mengagihkan air kepada pengguna yang terjejas.

“Sehingga kini Air Selangor menggerakkan sebanyak 114 lori tangki, termasuk 9 operator dari negeri lain, menyediakan 22 pili awam di kawasan yang mempunyai bekalan air, menempatkan 70 tangki statik di 19 Pusat Khidmat Setempat serta mengagihkan air minum 5 liter kepada pengguna yang terjejas,”katanya.

Terdahulu Air Selangor memaklumkan bekalan air mula disalurkan kepada pengguna bermula jam 12 tengah hari ini melibatkan 4 wilayah.

Air Selangor menjangka lebih 50% kawasan terjejas akan kembali pulih dalam tempoh 2 hari bemula hari ini sehingga 7 September.

Air Selangor turut menjangkakan bekalan air pulih sepenuhnya 9 September ini.

Sebelum ini, polis memaklumkan penahanan 4 pengurus kilang yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran sumber air di Sungai Gong, Rawang bermula hari ini. – FMT

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat