MCMC Siasat Video Pempengaruh Beri Sisa Makanan kepada Gelandangan

CYBERJAYA, – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan siasatan terhadap penyebaran sebuah video tular yang memaparkan sekumpulan individu, dipercayai pempengaruh media sosial, memberikan sisa makanan kepada seorang gelandangan.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, siasatan dijalankan susulan aduan orang ramai yang menyuarakan kebimbangan terhadap kandungan berkenaan, yang dilihat mengeksploitasi golongan terpinggir demi hiburan murahan dan tontonan.

“MCMC memandang serius tindakan menghasil dan menyebar kandungan yang merendahkan maruah individu semata-mata untuk menjana perhatian di media sosial,” menurut kenyataan itu.

Tambah MCMC, penyebaran kandungan sedemikian bukan sahaja tidak beretika, malah boleh mendorong kepada normalisasi budaya tidak berperikemanusiaan dalam masyarakat.

Pihak suruhanjaya turut menegaskan bahawa siasatan sedang dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Dalam masa yang sama, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan semula kandungan provokatif yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Sebarang perkongsian kandungan yang bersifat jelik, melampau, palsu atau berunsur ancaman boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM500,000, dipenjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

MCMC turut mengulangi komitmen untuk memastikan ruang siber tidak disalahgunakan, selaras dengan usaha memelihara kedaulatan undang-undang dan keharmonian masyarakat.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat