PAS Buka Pintu Kerjasama MIC-MCA, Tutup Rapat untuk DAP

CYBERJAYA — PAS menyatakan kesediaan untuk berbincang mengenai kemungkinan kerjasama politik dengan MIC dan MCA dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), namun menegaskan bahawa parti itu tidak akan sekali-kali bekerjasama dengan DAP.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata, PAS terbuka kepada perbincangan lanjut di peringkat tertinggi Perikatan Nasional (PN) jika MIC dan MCA berhasrat menyertai gabungan itu secara rasmi.

“Kita tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak, kecuali DAP. Apa-apa rundingan selanjutnya perlu dilakukan di peringkat pimpinan tertinggi,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Menurut beliau, PAS sentiasa mengalu-alukan penyertaan parti lain bagi memperkukuhkan PN sebagai blok pembangkang yang lebih mantap menjelang PRU akan datang.

Kenyataan ini hadir selepas Timbalan Presiden MIC, M. Saravanan, meluahkan rasa tidak dihargai dalam kerajaan semasa kerana tiada lantikan jawatan penting buat partinya, termasuk dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Dalam reaksi yang senada, Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS, Balachandran Gopal Krishnan, turut menyatakan bahawa sejarah kerjasama MIC-PAS sebelum ini menjadi asas kepada hubungan baharu yang boleh dibina semula.

Sementara itu, Hashim menegaskan bahawa PAS menolak penyertaan dalam Kerajaan Perpaduan walaupun ditawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri, selagi DAP menjadi sebahagian daripada gabungan itu.

“Kami pernah melalui pengalaman bersama DAP, dan kami tidak akan ulangi kesilapan yang sama. Tapi pintu rundingan dengan UMNO masih belum tertutup,” katanya.

Kenyataan Hashim dilihat sebagai respons kepada cadangan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Maszlee Malik, yang sebelum ini menyatakan peluang PAS memperoleh jawatan TPM lebih cerah sekiranya bersama Kerajaan Perpaduan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat