KUALA LUMPUR – Pemuda Amanah mengingatkan Umno Johor supaya cermin diri dan sekali gus menegaskan Kerajaan Negeri Johor bukanlah dibentuk berasaskan Kerajaan Perpaduan.
Exco Amanah, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, Pemuda parti itu akan terus mendesak pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) supaya calon dipilih daripada parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota nanti.
Kata beliau, luahan Amanah Kluang yang mahu parti terbabit diberi peluang bertanding pada PRK berkenaan, adalah rentetan luahan Amanah Johor dan akar umbinya yang sudah tersimpan lama berikutan dakwaan disisihkan Kerajaan Johor.
“Johor hingga hari ini tidak dibina sebagai sebuah Kerajaan Perpaduan, dengan PH meliputi Amanah dinafikan peranan dalam kerajaan negeri, termasuk pembentukan Ahli Majlis dan ketua-ketua kampung.
“Pemuda Umno Johor, Noor Azleen Ambros, mungkin terlupa hakikat ini ketika mengeluarkan kenyataan menuduh Amanah tamak dan gelojoh, sedangkan Umno terus-menerus membuat kenyataan-kenyataan terbuka yang menggores hati akar umbi PH, termasuk Amanah.
“Ini termasuk kenyataan terbuka Umno mahu bertanding di kerusi-kerusi disandang PH dan Amanah, termasuk yang disandang oleh Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, di Parlimen Kota Raja,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Isnin.
Mengulas lanjut, Fadhli Umar berkata, Pemuda Amanah mahu melihat Kerajaan Perpaduan terus kekal utuh dan bersatu dengan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Namun, Umno Johor patut mencermin diri dan dengan ikhlas membina Kerajaan Johor sebagai Kerajaan Perpaduan dahulu.
“Jika tidak, anak muda Amanah tidak akan teragak-agak untuk terus mendesak DUN Mahkota ditandingi Amanah walau terpaksa berhadapan tiga penjuru sekalipun,” katanya.
Terdahulu, Amanah Kluang dilaporkan mendesak supaya parti itu diberi peluang bertanding pada PRK DUN Mahkota yang akan diumumkan, tidak lama lagi.
Ketua Amanah Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain, dipetik berkata ia berikutan parti berkenaan pernah memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan turut bertanding kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022.
Namun, beliau dilaporkan berkata, jika Umno Johor selaku tonggak utama kerajaan negeri bersedia untuk memberi jawatan dalam kerajaan negeri termasuk sebagai Ahli Majlis, ketua kampung dan ketua masyarakat, Amanah bersedia memberi laluan kepada Umno untuk bertanding di kerusi DUN Mahkota.
Susulan itu, Pemuda Umno Johor dilapor menyifatkan tindakan Amanah menuntut kerusi DUN Mahkota, sebagai gelojoh dan tamak.
Noor Azleen dipetik berkata, Amanah juga dilihat tidak menghormati sensitiviti keluarga dan waris kepada penyandang kerusi DUN itu, Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang baru meninggal dunia pada Jumaat lalu.