KSN baharu akan diumum, Anwar akui kehilangan tonggak penting perkhidmatan awam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Pengumuman pelantikan Ketua Setiausaha Negara baharu akan dibuat dalam masa terdekat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelantikan baharu itu adalah untuk menggantikan Tan Sri Mohd Zuki Ali yang bakal menamatkan kontraknya pada 10 Ogos ini.

“Calon Ketua Setiausaha Negara, saya akan umum dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada Isnin.

Mohd Zuki dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara pada 31 Disember 2019 dan beliau menjawat semula jawatan itu secara kontrak untuk tempoh dua tahun mulai 11 Ogos 2022 hingga 10 Ogos 2024.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Nanyang University, Singapura pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Terdahulu, Anwar dalam ucapannya pada perhimpunan bulanan itu menyifatkan Mohd Zuki sebagai tonggak penjawat awam yang komited dan tidak pernah mengeluh dalam menjalankan tugasnya.

Sambil merakamkan penghargaan kepada Mohd Zuki yang bakal menamatkan kontraknya pada 10 Ogos ini, Perdana Menteri berkata, Ketua Setiausaha Negara itu adalah seorang pendamping yang komited membantunya dalam mengemudi negara.

“Saya bersyukur kerana sejak menjawat jawatan Perdana Menteri, saya didampingi selain rakan Jemaah Menteri, ialah tonggak dalam perkhidmatan awam, Tan Sri Mohd Zuki Ali sebagai Ketua Setiausaha Negara dan kebetulan ini perhimpunan terakhir beliau.

“Saya nak ambil kesempatan ini untuk menyatakan pengharagaan dan rasa terhutang budi saya kerana beliau walaupun berpengalaman dengan Perdana Menteri sebelumnya, tetapi menjalankan khidmat benar-benar profesional,” katanya.

Perdana Menteri berkata, sejak hari pertama beliau mengemudi negara, Mohd Zuki sering memberikan nasihat, pandangan dan cadangan secara konsisten serta terbaik demi perkhidmatan dan negara.

“Jadi saya dalam membuat keputusan, (sering) merujuk pandangan beliau termasuk (dalam) skim persaraan (penjawat awam) yang banyak dibantu oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), tetapi kita runding dan peranan Ketua Setiausaha Negara itu sangat utama.

“Saya kadang-kadang panggil beliau Sabtu malam, kalau lapang sikit saya panggil hari Ahad, tapi inilah satu sosok penjawat awam tak pernah beri alasan letih atau mengeluh sebaliknya mencari jawapan sebaik mungkin.

“Tetapi itulah Tan Sri Mohd Zuki tidak pernah beri sedikit gambaran bahawa beliau susah dengan tekanan dan beban yang saya berikan,” katanya, lapor BH.

Anwar mengakui akan kehilangan pendamping dan tonggak penting dalam Perkhidmatan Awam berikutan persaraan Mohd Zuki.

Anwar juga berkata, perhimpunan tersebut adalah yang terakhir bagi Mohd Zuki.

“Saya menghargai dan terhutang budi kepada beliau kerana walaupun berpengalaman berkhidmat dengan Perdana Menteri sebelum ini, tetapi beliau tetap menjalankan khidmat secara profesional,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat