KUALA LUMPUR – Hanya ada dua jalan terbaik untuk Bersatu kembali berkuasa iaitu kembali kepada Umno atau sertai PAS, kata Datuk Puad Zarkashi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata demikian kerana mendakwa Bersatu tidak memiliki kekuatan sendiri.
“Kelemahan utama Bersatu ialah parti itu tidak memiliki kekuatan sendiri. Ia banyak bergantung kepada PAS. Itu sebab Bersatu gagal mengambil alih peranan Umno.
“Parti itu (Bersatu) didominasi oleh pelompat transit. Mereka jadikan Bersatu pusat transit untuk kembali berkuasa. Maka talent baru tersekat kerana dominasi pelompat transit ini.
“Itu punca Bersatu tidak cukup anak lelaki sampai pinjam lelaki PAS untuk jadi calon. Nenggiri buka pekung Bersatu. Jalan terbaik ialah kembali kepada Umno atau sertai Pas. Ikut (Tan Sri) Annuar Musa.
“Tinggalkanlah Bersatu. Kuasa tidak ada, peranan pun tidak ada. Laki laki makin pupus,” cadang Speaker DUN Johor itu.
Puad malah membidas bahawa PAS satu satunya parti di dunia yang wajibkan ahlinya keluar parti untuk melompat ke parti lain.
“Kemudian dipaksa buat sumpah laknat supaya tidak melompat parti selepas menang.
“Ini fatwa baru PAS dalam politik. İni bukan tebuk atap tetapi pecah pintu depan.
“Alasannya Bersatu kurang anak lelaki. Kena ambil anak tiri dari PAS.
“Itu betul. Bersatu kurang anak lelaki kerana parti telah mandul. Kena curi anak tiri lelaki dari parti lain termasuk dari Umno,” dakwa Puad.