KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Puad Zarkashi mendakwa tindakan Adun Rembia, Jailani Khamis telah memufliskan dirinya sendiri.
Ini apabila Jailani suka melompat parti maka tanggunglah kesan daripada kerana perbuatannya, kata Puad.
“Adun Rembia, Jailani Khamis, mendakwa tuntutan Umno RM100 juta bertujuan supaya dia jadi muflis. Ini satu lagi YB tiada kelas.
“Dialah yang memufliskan dirinya. Dia sign SD kemudian dia melompat parti maka tanggunglah sendiri. Dia boleh tanya pula “Apa yang saya nak beri anak saya makan? bidas Puad.
Menurut Speaker DUN Johor itu lagi, Jailani tidak pernah cukup makan.
“Sebab itu katak suka melompat cari makan. Dia asal Umno, masuk PKR kemudian Adun bebas. Akhirnya (Datuk Seri) Takiyuddin umum dia ahli PAS.
“Sepatutnya Takiyuddin cakap, oleh kerana PAS sudah banyak laki laki, maka PAS memerlukan lebih banyak katak termasuk Jailani untuk kuatkan PAS,” dakwa Adun Rengit itu lagi.
Sebelum itu media melaporkan, Adun Rembia, Jailani Khamis, menganggap tuntutan Umno sebanyak RM100 juta yang sedang didepaninya kini bertujuan untuk menjadikan dia muflis.
Mengakui dia akan berdepan dengan isu kewangan jika tuntutan tersebut dipenuhi, Jailani bagaimanapun berkata, dia akan tetap memberi komitmen terhadap keputusannya menyertai PAS kerana sedar ia adalah ‘harga’ yang perlu dibayar kerana meninggalkan Umno-BN.
“Saya masuk PAS, saya dapat ugutan saman RM100 juta, dia (Umno) nak bankrapkan saya. Apa yang saya nak beri anak saya makan?
“Tetapi tuan-tuan, ini soal pendirian dan pegangan,” katanya ketika berceramah di Meranto, Gua Musang, malam tadi, lapor Malaysiakini.
Pada 3 Ogos lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu sudah menghantar surat tuntan (LOD) kepada Jailani ekoran tindakannya melompat ke PAS baru-baru ini.’
Zahid mendedahkan perkara itu berkata ia merupakan langkah awal bagi parti berkenaan mendapatkan pampasan sebanyak RM100 juta daripada Jailani.
Jailani – yang asalnya ahli Umno sebelum menyertai PKR dan berubah menjadi Adun bebas – diumum menjadi ahli PAS pada 16 Julai lalu.
Ia diumumkan sendiri oleh Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang turut mendakwa langkah tersebut tidak menjejaskan kedudukan Jailani sebagai Adun kerana dibuat sebelum Melaka menguatkuasakan peraturan antilompat parti.
Jailani menegaskan tindakannya meninggalkan Umno baru-baru ini adalah disebabkan prinsip perjuangan.
Hal itu kerana, katanya, ada janji yang dibuat oleh pemimpin Umno tidak ditunaikan seperti yang sepatutnya.
“Saya sudah dijanjikan ketika PRN (pilihan raya negeri) Melaka oleh siapa?
“Oleh Zahid Hamidi, oleh (Timbalan Presiden Umno) Mohamad Hasan , oleh (bekas Setiausaha Agung Umno) Ahmad Maslan dan beberapa orang lagi kepimpinan tertinggi (bahawa) Umno tak akan bekerjasama dengan Anwar (Ibrahim) dan DAP,” katanya lagi.
Tambahanya disebabkan Umno ingin berkawan dengan DAP, maka dia memilih untuk bersama perjuangan PAS.