KUALA LUMPUR – Malaysia akan menerima limpahan potensi faedah ekonomi sekiranya menyertai organisasi antara kerajaan, BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) terutamanya dalam memastikan ekonomi negara terus berkembang maju melalui peluasan pasaran eksport barangan dan perkhidmatan negara serta potensi peningkatan kemasukan pelaburan asing.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, berdasarkan penilaian awal, terdapat pelbagai faedah ekonomi yang bakal diperolehi oleh Malaysia melalui penyertaan dalam BRICS.
“Antaranya, akan membuka ruang dan peluang untuk Malaysia menembusi satu pasaran mega yang dibentuk oleh negara-negara BRICS sedia ada, iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan serta Mesir, Ethiopia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu dengan jumlah populasi mencecah 3.54 bilion yang bersamaan dengan 45 peratus populasi dunia.
“Diversifikasi pasaran ke negara-negara BRICS dapat mengimbangi kebergantungan negara kepada pasaran tradisional sedia ada seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Eropah,” katanya.
Tengku Zafrul berkata demikian dalam emel jawapan kepada Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang bertanya apakah faedah ekonomi yang akan diperolehi oleh Malaysia sebagai negara Asia Tenggara pertama yang akan menjadi ahli kepada BRICS yang merupakan blok ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi negara-negara seperti Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.
“Selain itu, kekuatan ekonomi negara-negara BRICS juga kukuh dan semakin meningkat di mana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) keseluruhan berjumlah USD26.6 trilion iaitu 26.2 peratus daripada KDNK dunia, hampir sama dengan kekuatan ekonomi negara-negara G7.
“Kekuatan ekonomi negara anggota BRICS sebagai sebuah blok ekonomi dijangka membantu meningkatkan perdagangan antarabangsa di kalangan negara-negara anggota,” katanya.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul menyatakan, negara anggota BRICS memerlukan bekalan bahan mineral yang konsisten justeru ia akan memacu industri pembuatan negara.
“Dalam konteks tersebut negara-negara anggota BRICS adalah antara pengeluar komoditi utama dunia seperti minyak mentah dan gas, arang batu, bijih besi, aluminium, bijirin, tembaga, nikel, emas dan platinum serta palladium.
“Penyertaan Malaysia dalam BRICS membolehkan negara mendapat akses kepada sumber bekalan mineral yang kritikal serta memastikan rantaian bekalan yang stabil dan konsisten,” katanya.
Tambah beliau, BRICS sememangnya mempunyai potensi besar untuk menjadi kuasa ekonomi dunia di masa hadapan.
“Ini adalah berdasarkan analisa kekuatan ekonomi China yang digelar sebagai world factory, India dengan kuasa ekonomi yang sedang membangun dengan pesat serta kekuatan Rusia sebagai kuasa serantau.
“Tidak dinafikan juga peranan Brazil dan Afrika Selatan selaku kuasa baharu (emerging powers), di Amerika Selatan dan benua Afrika.
“Justeru, penyertaan Malaysia dalam BRICS dijangkaakan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” tegas Tengku Zafrul.
Beliau juga memaklumkan, Malaysia bukanlah negara pertama di Asia Tenggara yang telah menyatakan hasrat untuk menyertai BRICS.
Ujarnya, Thailand telah pun mengemukakan secara rasmi surat permohonan kepada Pengerusi BRICS 2024 iaitu negara Rusia bagi menyertai organisasi tersebut.
“Setiap permohonan perlu menerusi beberapa saringan dan mendapat persetujuan bersama (consensus decision) negara-negara anggota sedia ada sebelum keputusan rasmi sebagai ahli diumumkan,” kata Tengku Zafrul.