KUALA LUMPUR – Peguam, Latheefa Koya mengkritik apa yang disifatkannya sebagai “gimik mahal” Kerajaan Madani bagi menunjukkan ia lebih mengangkat Melayu dan Islam berbanding pesaing politiknya iaitu PAS-PN.
Bekas Pengerusi SPRM itu berkata demikian merujuk rancangan untuk menghimpunkan 24,000 huffaz dari seluruh negara di Masjid Wilayah di Kuala Lumpur pada bulan depan.
Latheefa mengkritik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menurutnya tanpa segan silu mengakui matlamat politik di sebalik acara tersebut.
“Satu lagi gimik mahal Kerajaan Madani untuk menunjukkan mereka lebih Islamik dan lebih Melayu daripada PAS-PN.
“Zahid sendiri tanpa segan silu mengaku matlamat politik di sebalik acara ini.
“Apa-apa pun, bagaimanakah sejumlah wang yang banyak dibelanja bagi mengumpulkan 24,000 huffaz pada acara sekali anjur begini menjadi satu bentuk komitmen yang sebenar kepada Islam?” kata Latheefa di X pada Isnin.
Semalam, Zahid yang juga Presiden Umno ketika berucap di Gua Musang, Kelantan memaklumkan berkenaan rancangan menganjurkan acara itu, yang menurutnya kesinambungan kepada himpunan serupa yang diadakan tahun lepas.
Katanya lagi, acara tersebut juga merupakan iltizam dan tekad kerajaan dalam mempertahankan agama Islam.
Mengulas lanjut, Latheefa berkata peruntukan bagi program tersebut juga boleh disifatkan sebagai pembaziran.
“Wang ini boleh dibelanjakan dengan lebih baik untuk golongan miskin, pendidikan, kebajikan awam, serta pelarian Palestin dan Rohingya yang terdesak di Malaysia. Perkara ini sendiri dianjurkan Quran.
“Di sebalik usaha untuk menonjolkan diri masing-masing lebih Islam daripada yang lain, kerajaan Madani masih lagi enggan menarik diri daripada berurus niaga dengan BlackRock. Keengganan ini jelas sekali menunjukkan tahap komitmen mereka kepada ‘ummah’,” katanya lagi.
Latheefa tuurt membandingkan acara situ dengan janji yang disuarakan Anwar untuk mencetak sejuta naskhah Quran sebagai tindak balas kepada tindakan seorang ahli politik haluan kanan di Sweden yang membakar kitab suci tersebut.
“Apa tujuannya? Dunia tidaklah kekurangan Quran tetapi kekurangan orang yang memahami mesej Quran. Pelbagai terjemahan Quran ada di Internet,” kata beliau.