Syed Saddiq Arah ‘Clearkan’ Wang RM1 Juta Selepas Disiasat SPRM – Saksi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengarahkan beliau untuk ‘clearkan’ wang RM1 juta yang dikeluarkan daripada akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia kerana Ahli Parlimen Muar itu disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) parti itu Rafiq Hakim Razali, 32, berkata beliau menerima panggilan WhatsApp daripada Syed Saddiq sekitar Mac dan penghujung April yang mengatakan SPRM telah memeriksa dan menggeledah di kediaman ahli politik tersebut.

Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata Syed Saddiq juga mengarahkan beliau mengagihkan RM650,000 kepada Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Wilayah Persekutuan Muhammad Daniel Kusari dan RM250,000 kepada Muhammad Naqib Ab Rahim, yang ketika itu merupakan ahli Bersatu.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada perbicaraan kes Syed Saddiq yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Ditanya mengapa Syed Saddiq menyuruh beliau ‘clearkan’ wang terbabit, Rafiq Hakim menjawab “Dia takut duit itu disita.”

Saksi itu juga berkata wang RM1 juta itu disimpan di dalam rumahnya sebelum diagihkan kepada Muhammad Daniel dan Muhammad Naqib.

Wan Shaharuddin: Wang RM250,000 dan RM650,000 itu diserahkan di mana?

Rafiq Hakim: Di kawasan rumah saya.

Wan Shaharuddin: Wang RM250,000 dan RM650,000 itu berasal dari mana?

Rafiq Hakim: Wang itu berasal dari akaun Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia daripada pengeluaran RM1 juta.

Wan Shahruddin: Kalau ikutkan RM900,000 dan apa jadi pada RM100,000?

Rafiq Hakim: Seingat saya digunakan untuk program Armada dan ini semua arahan YB Syed Saddiq.

Kepada soalan Wan Shahruddin sama ada beliau akan mengeluarkan wang tersebut sekiranya tidak menerima arahan daripada Syed Saddiq, saksi itu menjawab “Tidak.”

Sebelum mengeluarkan wang itu, Syed Saddiq ada bertanya baki di dalam akaun parti dan beliau memaklumkan ahli politik tersebut bahawa jumlahnya kira-kira RM1.8 juta.

Disoal Wan Shaharuddin sama ada beliau memahami apa yang dimaksudkan dengan siasatan SPRM, Rafiq Hakim menjawab “Pada waktu itu kes kehilangan RM250,000 dan SPRM datang rumah YB Syed Saddiq untuk membuat siasatan.”

Rafiq Hakim berkata beliau hanya mengetahui kisah Syed Saddiq kehilangan RM250,000 dari peti besi rumahnya namun ahli politik itu tidak menyatakan bahawa wang itu milik ibu bapa atau untuk kegunaan ubah suai rumah sebaliknya hasil sumbangan politik.

Saksi itu juga berkata beliau masih berkawan dengan Syed Saddiq dan mereka pernah berjumpa pada Ramadan baru-baru ini serta berbincang mengenai projek baju Melayu di kediaman ahli politik tersebut.

Wan Shaharuddin: Ketika itu, ada tak dia beritahu tentang perintah larangan untuk bertemu saksi?

Rafiq Hakim: Tiada.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung esok. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat