Mereka Mahu Pastikan Saya Tidak Disahkan Sebagai Timbalan Presiden PKR – Rafizi

- Advertisement -

CYBERJAYA – Timbalan Presiden PKR yang baru dipilih, Rafizi Ramli hari ini menggesa pemimpin yang kalah pada pemilihan parti itu supaya menerima kekalahan dan bersama meneruskan agenda pengukuhan parti ke arah PRU15 akan datang, lapor Malaysiakini

Rafizi berkata, PKR tidak mampu untuk melayan karenah segelintir calon yang kalah dengan menangguhkan lagi kongres nasional bagi mengesahkan keputusan pemilihan.

“Kita tidak ada banyak masa untuk kembali ke landasan asal perjuangan kita iaitu membela rakyat ke arah membentuk sebuah masyarakat pelbagai kaum yang saling menghormati, lebih berdaya dan menjamin kehidupan yang lebih baik kepada semua.

“Saya dan rakan-rakan yang selama ini berdiam diri dengan segala karenah dari kumpulan-kumpulan yang berkepentingan peribadi ini akan mempercepatkan lagi kempen #AyuhMalaysia untuk membentangkan visi PKR untuk masa depan yang lebih baik.

“Saya seru seluruh anggota PKR supaya tidak lagi menghiraukan kekecohan yang cuba ditimbulkan oleh segelintir kelompok yang kalah ini dan bekerja untuk kita meyakinkan kembali rakyat bahawa PKR adalah pilihan terbaik rakyat,” katanya, dipetik dari laporan tersebut.

Rafizi secara rasmi diisytiharkan sebagai pemenang jawatan timbalan presiden PKR semalam, dengan mengalahkan Saifuddin Nasution Ismail dengan 16,668 undi.

Ini selepas beberapa undi dibatalkan oleh jawatankuasa pemilihan dalaman parti kerana ketidakpatuhan yang ditemui oleh audit forensik luar.

Menurut laporan itu lagi, Rafizi berkata ada di kalangan calon yang kalah dalam pemilihan berkenaan mahu mengubah keputusan supaya kemenangannya itu tidak disahkan oleh Kongres Nasional.

“Mereka ini rapat dengan Anwar Ibrahim dan merasakan mereka boleh mempengaruhi keputusan untuk memastikan saya tidak disahkan sebagai timbalan presiden.

“Hakikatnya, mereka tidak boleh menerima kenyataan bahawa sentimen akar umbi sangat berbeza dengan bacaan mereka,” katanya.

Menurutnya lagi, kumpulan yang kalah berkenaan tidak boleh menerima kekalahan dan mereka terus mengasak dan mengelilingi Anwar.

Namun kata Rafizi langkah utamanya sebagai timbalan presiden ialah untuk meneliti keseluruhan proses audit digital yang telah mengakibatkan kecelaruan yang berlaku untuk memberi keadilan yang sewajarnya kepada semua pihak.

“Saya akan mengusahakan supaya satu tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbukti berniat mensabotaj parti dengan terus-menerus mengkritik pemilihan bertujuan melengahkan kepimpinan baru PKR mengambil tempat.

“Keutamaan saya ialah untuk mempersiapkan pimpinan dan jentera parti untuk berdepan dengan lawan dalam PRU15,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat