Mastura minta maaf kontroversi penduduk Kuala Kangsar terputus bekalan makanan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid memohon maaf secara terbuka susulan kontroversinya dalam isu bantuan kepada penduduk kawasan Parlimennya.

“Saya mengambil maklum keprihatinan semua pihak berkenaan posting di akaun media sosial saya baru-baru ini dan video penjelasan oleh beberapa pihak berkaitan tularnya video temuramah oleh Suria FM beberapa hari lalu.

“Dengan ini saya memohon maaf atas ketidakselesaan berbagai pihak daripadanya,” kata Ahli parlimen Kuala Kangsar itu di Facebook pejabatnya sebentar tadi.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan setelah beliau dikritik kerana menyiarkan video wawancara dengan seorang penduduk bagi menyanggah dakwaan terdapat rakyat kawasannya kelaparan selama dua hari.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman antara yang tampil menegur wakil rakyat UMNO itu.

Ahli Parlimen Muar itu antaranya berkata Mastura hanya patut “datang, bantu dan pergi” dan tidak harus membuat pendedahan seperti keluarga itu bersalah.

Dalam wawancara radio, seorang wakil NGO, sambil menangis, mendakwa melihat seorang kanak-kanak terbaring tidak makan dua hari di Kuala Kangsar.

Dia juga mendakwa keluarga itu tiada makanan selama dua hari.

Ramai pengguna media sosial mengecam Mastura kerana mendedahkan identiti keluarga berkenaan dan bukannya menyalurkan bantuan diperlukan.

Sementara itu, Mastura berkata apa yang terjadi tidak akan melunturkan semangatnya untuk terus membela nasib masyarakat Kuala Kangsar.

Dia mengharapkan semua pihak kembali fokus membantu rakyat yang terkesan dengan cabaran Covid-19. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat