TAMPIN, — Kejayaan enam daripada 32 anak-anak di bawah naungan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) yang mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 disifatkan sebagai lambang kekuatan semangat, ketabahan dan harapan masa depan negara.
Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pencapaian tersebut bukan sekadar kejayaan akademik, malah menjadi manifestasi kekuatan jiwa anak-anak yang telah melalui pelbagai cabaran kehidupan.
Menurut beliau, dengan sokongan berterusan dan peluang yang saksama, setiap anak Malaysia berupaya melakar kejayaan yang membanggakan.
Daripada jumlah keseluruhan calon yang menduduki peperiksaan itu, enam pelajar berjaya memperoleh keputusan 5A ke atas, dengan pencapaian tertinggi direkodkan oleh Aisyah Binti Maharuddin yang memperoleh 10A dari Sekolah Menengah Agama Repah.
Turut mencatat keputusan cemerlang ialah Nur Aqilah Alya Binti Mohamad dari Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar dengan 9A, Nurhanani Ainan Binti Khafizan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib dengan 9A, dan Nurul Iffah Hafshah Binti Irwan dari Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu dengan 8A.
Dua lagi pelajar, Nur Afiqah Najla Binti Maharin dari MRSM Bentong serta Anis Shazrina Binti Anuar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Puteri Jaya masing-masing memperoleh 5A.
Bagi meraikan kejayaan tersebut, Ismail Sabri telah mengadakan ziarah kasih ke rumah dua pelajar cemerlang di Negeri Sembilan, termasuk Aisyah di Taman Asahan Indah, Gemencheh dan Nur Aqilah Alya di FELDA Jelai 4, Gemas.
Beliau berkata, setiap kejayaan anak-anak ini adalah simbol harapan negara dan bukti bahawa agenda pemerkasaan pendidikan serta kebajikan anak-anak Keluarga Malaysia berada pada landasan yang tepat.
“Mereka bukan sahaja membuktikan keupayaan diri, malah menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa masa depan negara terletak pada generasi yang berilmu, berdaya tahan dan berakhlak,” katanya.
Menurut kenyataan media itu lagi, YKM turut akan membantu pelajar lain yang tidak memperoleh keputusan akademik tertinggi untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kemahiran melalui kerjasama dengan MARA dan kolej kemahiran berkaitan.
Sebagai tanda penghargaan, semua anak YKM yang memperoleh keputusan 5A ke atas akan menerima Bantuan Kecemerlangan SPM 2025 yang akan dikreditkan ke akaun bank masing-masing pada 6 April 2026.
YKM berkata, kejayaan ini diharap menjadi pemangkin kepada lebih ramai anak-anak di bawah yayasan itu untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dan memainkan peranan penting dalam membina masa depan Malaysia yang lebih gemilang.



