Rumah Terbuka Aidilfitri Madani Selangor Dibatalkan – Menteri Besar

- Advertisement -

SHAH ALAM, 5 April — Rumah Terbuka Aidilfitri Madani 2025 peringkat Negeri Selangor yang dijadual berlangsung esok dibatalkan sebagai tanda penghormatan kepada mangsa serta keluarga yang terlibat dalam insiden tragik di Putra Heights.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin bin Shari dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pembatalan itu dibuat selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor serta persetujuan Perdana Menteri.

“Segala persiapan seperti makanan akan disalurkan kepada Pusat Pemindahan Sementara (PPS), rumah anak-anak yatim, sekolah berasrama serta petugas keselamatan,” katanya.

Beliau turut memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul susulan pembatalan tersebut dan menyifatkan keputusan ini sebagai suatu keperluan demi menghormati kesedihan yang sedang ditanggung mangsa serta keluarga mereka.

“Saya sangat menghargai persefahaman semua pihak demi maslahah yang lebih utama,” katanya lagi sambil merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pasukan pelaksana majlis yang telah bertungkus-lumus membuat persiapan.

Menteri Besar turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama mendoakan agar semua pihak yang terlibat diberikan ketabahan, serta agar segala usaha membantu mangsa diberkati Allah SWT.

Pada 1 April lalu, satu letupan paip gas berlaku di Putra Heights, Selangor, mengakibatkan kebakaran besar yang mencederakan lebih 100 orang dan memusnahkan beberapa harta benda. Letupan tersebut menyebabkan api marak setinggi 30 meter dan boleh dilihat dari jarak beberapa kilometer.

Seramai 63 mangsa telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan akibat melecur dan masalah pernafasan, manakala 49 lagi menerima rawatan di pusat perubatan sementara yang didirikan berhampiran lokasi kejadian.

Pihak berkuasa tempatan turut menubuhkan pusat pemindahan sementara di masjid-masjid berdekatan bagi menempatkan penduduk yang terjejas, sementara siasatan awal mendapati terdapat kerja-kerja penggalian yang dilakukan kira-kira 30 meter dari lokasi sebelum kejadian berlaku.

Usaha pemulihan sedang giat dijalankan, dan orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan kawasan kejadian demi keselamatan bersama.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat