SJKC Khai Chee Bina Bangunan Tanpa Kebenaran – KPM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Chee, Segambut, Kuala Lumpur berstatus sekolah kerajaan di atas tapak tanah hak milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) seluas 1.7 ekar.

Katanya, bermula pada tahun 2012 hingga tahun 2014, pihak Lembaga Pengurus Sekolah (LPS) melalui Guru Besar SJKC Khai Chee telah memohon untuk mendirikan satu blok bangunan di atas tanah persendirian sebagai bangunan tambahan kepada sekolah tersebut.

Menurut KPM, memandangkan SJKC Khai Chee adalah sekolah kerajaan yang dibina di atas tanah milik PTP, cadangan pembinaan bangunan tambahan perlu mematuhi
tatacara pembinaan institusi pendidikan kerajaan.

Bagi membolehkan permohonan tersebut dipertimbangkan, pihak LPS hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

“Syarat-syarat tersebut ialah pihak sekolah perlu mengemukakan bukti bahawa Chevron Malaysia Limited telah membuka atau melupuskan kaveat ke atas tapak berkenaan; pihak sekolah mengemukakan semula skop projek supaya mematuhi Garis Panduan dan Peraturan bagi Perancangan Pembangunan oleh Jawatankuasa Kecil Piawaian dan Kos bagi Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Negara, Jabatan Perdana Menteri; dan LPS mengemukakan surat jaminan untuk menyerahkan tapak dan bangunan baharu kepada kerajaan memandangkan sekolah ini adalah sekolah kerajaan,” jelas KPM dalam kenyataan pada Selasa.

Pun begitu, sehingga kini KPM tidak pernah menerima permohonan lengkap yang memenuhi ketiga-tiga syarat yang ditetapkan daripada pihak LPS bagi membolehkan pertimbangan dibuat.

“Laporan dan tinjauan yang telah dibuat oleh Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) pada tahun 2014 mendapati pembinaan bangunan tambahan telah dimulakan di tapak yang dicadangkan tanpa mendapat kelulusan daripada KPM.

“Sehubungan dengan itu, satu surat arahan pemberhentian kerja telah dikeluarkan oleh JPWPKL pada 8 Disember 2014 memandangkan bangunan tersebut dicadangkan untuk digunakan sebagai sekolah kerajaan.

“Semakan pihak JPWPKL mendapati bahawa pihak LPS masih meneruskan kerja-kerja pembinaan bangunan tersebut. Oleh itu, pihak JPWPKL telah mengeluarkan surat kedua arahan pemberhentian kerja kepada pihak LPS pada 7 September 2015. Arahan pemberhentian ini juga tidak dihiraukan oleh pihak LPS dan kerja-kerja pembinaan
diteruskan sehingga bangunan tersebut siap dibina,” jelasnya.

KPM menghargai usaha masyarakat yang turut menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara.

Walau bagaimanapun, KPM ingin menegaskan bahawa tindakan pihak LPS yang tidak menghiraukan teguran dengan terus membina bangunan tambahan di tanah persendirian adalah tidak wajar.

“KPM tidak boleh didesak oleh mana-mana pihak untuk menerima apa-apa bangunan sebagai sekolah kerajaan kerana kementerian tertakluk kepada peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat